Carian Artikel di sini

Tuesday, July 7, 2009

Sikap positif... Menuju Kejayaan

Sepasang suami isteri mempunyai dua orang anak lelaki yang telah meningkat remaja. Keluarga itu menjalankan perniagaan kedai runcit. Perniagaan mereka semakin hari semakin maju dan si ayah membuka satu lagi cawangan yang tidak jauh dari kedai pertama.


Malangnya, tidak lama kemudian si ayah jatuh sakit. Menyedari bahawa penyakitnya tidak akan sembuh, si ayah memanggil kedua-dua orang anak lelakinya untuk disampaikan pesanan dan wasiat.


"Ayah rasa telah sampai masanya untuk ayah meninggalkan dunia ini. Sebelum itu ayah ingin berpesan kepada kamu berdua supaya menjaga ibumu dengan baik setelah ayah tiada" kata si ayah dengan suara yang terketar-ketar.


"Kedai kita yang dua buah itu hendaklah dibahagi sama rata di antara kamu berdua dan ayah ingin berpesan dua petua tentang kedai itu:
Pertama: Jangan sesekali menagih hutang kepada orang yang berhutang
Kedua: Dalam perjalanan pergi dan balik, hindarilah wajah kamu dari terkena sinaran matahari"


Selepas menyampaikan pesanan dan wasiat, si ayah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dua orang anak lelakinya memang baik. Mereka menjaga ibu dengan sempurna sekali di samping meneruskan perniagaan kedai runcit peninggalan ayah mereka.


Setelah beberapa tahun berlalu, perniagaan si abang bertambah maju manakala perniagaan si adik agak merosot. Si ibu merasa agak kehairanan lalu bertanya kepada anak-anaknya.


Si abang menjawab,


"Saya mengikut segala petua yang ayah sampaikan sebelum dia meninggal. Ayah berpesan agar jangan menagih hutang kepada orang yang berhutang. Maka saya tidak pernah memberi hutang kepada sesiapa pun. Oleh sebab itu saya tidak mengalami masalah dalam pusingan modal saya. Dan lagi ayah berpesan supaya menjaga wajah saya supaya jangan terkena sinaran matahari ketika pergi dan pulang dari kedai, maka saya ke kedai sebelum matahari terbit dan hanya akan pulang setelah matahari terbenam. Justeru itu saya mempunyai lebih ramai pelanggan kerana waktu perniagaan kedai itu agak panjang dari kedai-kedai lain."


Si adik pula menjawab,


"Saya juga mengikut segala pesanan yang ayah berikan. Ayah berpesan supaya jangan sesekali menagih hutang daripada orang yang berhutang. Saya tidak dapat memusingkan modal kerana orang yang berhutang tidak membayar hutang sedangkan saya tidak boleh menagih dari mereka. Sebab itulah saya kekurangan modal sekarang dan perniagaan saya semakin merosot. Ayah juga berpesan supaya jangan biarkan wajah saya terkena cahaya matahari ketika pergi dan balik dari kedai. Maka untuk mengelakkan dari terkena sinaran, saya terpaksa naik beca atau teksi padahal saya boleh berjalan kaki kerana jarak kedai itu tidak lah jauh. Ini menyebabkan perbelanjaan saya semakin bertambah untuk membayar tambang teksi atau beca"


Pesanan yang sama, disampaikan oleh orang yang sama tetapi diterima oleh dua orang yang berbeza. Lihat bagaimana berbezanya mereka menterjemahkan pesanan daripada ayah mereka. Perbezaan persepsi ini menyebabkan mereka mengambil tindakan yang berbeza dan akhirnya hasil yang mereka terima juga sudah tentu berbeza.


Sama juga kisahnya sebiji gelas yang berisi separuh dengan jus oren. Orang yang optimis akan melihat separuh gelas yang berisi dengan jus oren dan akan berkata "gelas itu separuh penuh" tetapi orang yang pesimis akan nampak separuh gelas yang kosong dan akan berkata "gelas itu separuh kosong".


Ketika menghadapi sesuatu perkara yang memerlukan kita membuat keputusan atau ketika menghadapi sesuatu masalah yang perlu kita selesaikan, bukalah minda seluas-luasnya dan lihat perkara dan masalah itu dari pelbagai sudut yang berbeza. Kadang-kadang jika dipandang daripada satu sudut sahaja, kita nampak seolah-olah permasalahan itu mustahil untuk diselesaikan dan kita akan berasa kecewa dan putus asa.


Jika kita melihat dengan sikap yang positif maka segala kesulitan sebenarnya merupakan sebuah perjalanan yang memberi kita kejayaan. Pilihan di tangan kita sendiri.. Berusahalah melakukan perkara-perkara yang biasa dengan cara yang luar biasa...untuk menjadi seorang yang luar biasa hebatnya..

No comments:

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran