Carian Artikel di sini

Showing posts with label Akhlak. Show all posts
Showing posts with label Akhlak. Show all posts

Sunday, March 20, 2016

4 Amalan Baik dan 4 Amalan Buruk


4 PERKARA YANG BAIK DAN CANTIK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BAIK DAN CANTIK DAN 4 PERKARA YANG BURUK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BURUK




Berkata sebahagian Hukama "Ada 4 perkara sangat-sangat baik dan cantik tapi terdapat 4 perkara yang lebih cantik dan 4 perkara yang buruk tapi ada 4 perkara yang lebih buruk."

4 PERKARA YANG BAIK DAN CANTIK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BAIK DAN CANTIK
1)Sifat malu itu baik kepada pada seorang lelaki tetapi lebih baik pada seorang perempuan yang pemalu.
2)Bersikap adil dan bijaksana itu baik untuk semua orang tapi lebih baik kalau ada pada Pemimpin.
3)Taubat oleh seorang Syeikh, orang tua itu baik dan cantik tapi lebih baik dan cantik taubat daripada anak-anak remaja.
4)Bersifat pemurah daripada orang kaya itu bagus tapi lebih bagus kalau dikatakan sifat pemurah itu kepada orang miskin

4 PERKARA YANG BURUK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BURUK
1)Dosa daripada anak-anak muda itu jelek dan buruk tapi lebih jelek dan buruk lagi dosa daripada orang-orang tua.
2)Mengejar dunia itu buruk dan jelek untuk orang yang jahil tapi lebih jelek dan buruk lagi yang dikejar dunia itu oleh Para Ulama.
3)Malas dalam melaksanakan ibadah itu buruk dan jelek kepada semua orang tapi lebih jelek dan buruk kepada Para Ulama dan Para Penuntut Ilmu.
4)Sifat takabbur daripada orang-orang kaya itu buruk dan jelek tapi lebih jelek dan buruk daripada sifat takabbur daripada orang miskin

Thursday, June 21, 2012

Balasan baik hindari marah



ABU Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: “Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketikaitu Rasulullah duduk disebelahnya.

Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ.

Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: “Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi.”

Rasulullah lantas menjawab: “Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan.”

Rasulullah kemudian bersabda lagi: “Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredaan Allah.”

Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: “Awaslah kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.

“Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring.”

Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang pemarah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredaan pada hari kiamat.”

Monday, June 18, 2012

Benteng-Benteng Akhlak



Menjelang waktu sahur, lelaki itu datang lagi dengan membawa hidangan seperti sebelumnya. Setelah makan sahur, mereka menunggu untuk solat Subuh. Syekh Imam datang dan terus mengimamkan solat Subuh. Syekh Imam datang dan terus mengimamkan solat, kemudian duduk berzikir, membaca Al-Quran, memuji Allah dan berdoa dengan doa yang baik.

Syekh kemudian menghadap kepada para jemaah dan berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t telah mensyariatkan dua perkara ke atas makhluknya di dalam satu ayat, tapi manusia lalai terhadapnya.

"Apa dia Syekh?" tanya orang sufi.

"Sila maju ke hadapan." pinta Syekh.

Orang-orang pun maju, kemudian Syekh meneruskan syarahannya.

"Wahai anakku! Sesungguhnya Allah s.w.t telah berfirman (yang ertinya): "Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu semua." kata Syekh itu sambil menyebutkan sifat-sifat musuh." kata Syekh lagi.

"Jadi, bagaimana kita membentengi diri dari musuh tersebut?" tanya si sufi.

Syekh menerangkan: "Benteng yang pertama terbuat daripada emas, iaitu makrifat kepada Allah. Di sekeliling benteng pertama itu ada benteng kedua yang terbuat daripada perak, iaitu iman kepada Allah. Di sekeliling benteng kedua, ada benteng ketiga yang terbuat daripada besi, iaitu tawakkal kepada Allah.

Benteng ketiga dikelilingi oleh benteng keempat yang terbuat daripada batu, iaitu syukur dan redha kepada Allah. Benteng keempat dikelilingi lagi oleh benteng kelima yang terbuat daripada tembikar, iaitu melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Benteng kelima dikelilingi oleh benteng keenam yang terbuat daripada zamrud, iaitu terdiri dari jujur dan ikhlas dalam segala perkara. Benteng keenam dikelilingi pula oleh benteng ketujuh atau benteng paling luar yang terbuat daripada intan permata, iaitu budi pekerti."

Syekh meneruskan syarahannya: "Orang yang beriman bertahan di dalam tujuh-tujuh benteng tersebut, manakala iblis berada di luar sambil menyalak seperti anjing. Orang yang beriman tidak akan terpengaruh akan ajakan iblis tersebut kerana dia telah berlindung dalam beberapa lapis benteng. Oleh kerana itu, seorang yang beriman hendaklah jangan mengabaikan budi pekerti atau akhlak dalam segala perkara dan jangan memandang rendah setiap perkara yang datang kepadanya dengan akhlak yang baik.

"Kerana barangsiapa yang meninggalkan budi pekerti atau akhlak yang baik dan memandang rendah terhadapnya, bererti dia telah meninggalkan benteng paling luar (benteng ketujuh), dia telah tertipu. Bila sudah demikian iblis akan terus menerus merebut benteng-benteng yang lain sehinggalah pada benteng yang pertama yakni merebut iman seseorang hingga dia menjadi kafir dan berkekalan dalam neraka. Inilah akibatnya jika seorang beriman meninggalkan budi pekerti yang baik. Oleh itu kita mohon kepada Allah agar mengurniakan adab yang baik."

Thursday, May 31, 2012

10 Sifat Tercela di sisi Allah


SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian. Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:


1. Gelojoh ketika makan
Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan. Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

2. Banyak bercakap
Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

3. Suka marah-marah
Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan. Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

4. Hasad dengki
Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: ‘Dengki itu memakan segala kebaikan’ (riwayat Muslim).

5. Kedekut & bakhil
Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya. Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan kejalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

6. Bermegah-megah
Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

7. Cintakan dunia
Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari.” (riwayat Bukhari dan Muslim).

8. Ego atau sombong
Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

9. Ujub dan suka bangga diri
Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

10. Gemarkan pujian atau riak
Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan. Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar. Nauzubillah...


Sumber: www.ustazazhar.net

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran