Allah SWT memberi dua kemudahan kepada orang yang bermusafir untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.
Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat. Berikut adalah syarat-syarat yang dimaksudkan:
Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.
Kedua: Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).
Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.
Keempat: Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie, Jilid 1, Bab Solat Musafir)
HUKUM YANG DISALAH ERTI
Syarat ke-4 merupakan perkara yang PALING DISALAH ERTIKAN oleh ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka menyangka masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari. Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.Jika seseorang yang menetap (contohnya) di Shah Alam merancang untuk berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari. Maka dia hanya dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.
MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR?
Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru lebih dari 3 hari, ini bermakna ia telah berniat bermukim di destinasi itu. Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir. Sedangkan rukhsah(keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah Ta’ala bagi orang yang berstatus musafir, sepertimana Allah berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 101:وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة} النساء: 101} Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir(jamak & qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir .
APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?
Menurut mazhab Syafi’ie, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari atau lebih, tetapi tidak dikira hari perlajanan ke destinasi dan hari pulang. Sebagai contoh:Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 7 hari iaitu dari hari Isnin hingga Ahad. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Ahad. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 5 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu lebih dari 3 hari. Dengan ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.
APAKAH DALIL MAZHAB SYAFI’IE TENTANG TEMPOH MUKIM BERDASARKAN 4 HARI?
Ia berdalilkan sepotong riwayat yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim(dengan lafaz Imam Muslim):عن الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لِلْمُهَاجِرِ إِقَامَةُ ثَلَاثٍ بَعْدَ الصَّدَرِ بِمَكَّةَ»، «كَأَنَّهُ يَقُولُ لَا يَزِيدُ عَلَيْهَا»
Maksudnya: Saidina al-‘Ala bin al-Hadrami Radiyallahu ‘anhu berkata, ‘aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda’, “Mukim bagi Muhajir selama 3 hari di Mekah selepas kembali dari Mina”, 'Seolah-olah Baginda menyatakan tidak lebih dari tempoh itu'.
BAGAIMANA PULA RIWAYAT NABI PERNAH MENGQASARKAN SOLAT LEBIH DARI 3 HARI?
Terdapat riwayat sahih yang menunjukkan baginda pernah mengqasarkan solat ketika musafir lebih dari 3 hari. Ini seolah-olah pada zahirnya, mazhab Syafi’ie bertentangan dengan Sunnah. Riwayat yang dimaksudkan ialah:عن عمران بن حصين رضي الله عنه قال: "غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشر ليلة، لا يصلي إلاّ ركعتين". رواه أبو داود Maksudnya: Saidina Imran bin Husain Radiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan aku menyertai Baginda ketika pembukaan kota Mekah, lalu Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dan Baginda tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat(qasar)”. (Hadith riwayat Imam Abu Daud).
Pendirian mazhab Syafi’ie mengenai hadith ini, apabila seseorang berniat tinggal di sesuatu tempat yang TIDAK PASTI TEMPOH MENETAP di sesuatu tempat kerana MELAKUKAN TUGAS YANG BELUM TENTU TAHU BILA SELESAINYA, maka dia boleh mengqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang. Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menetap selama tempoh tersebut pada tahun pembukaan kota Mekah kerana memerangi puak Hawazin dan Baginda mengqasarkan solatnya kerana Baginda tidak pasti berapa lama Baginda terpaksa tinggal di situ. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji atau Ifadah al-Raghibin)
Isu ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam ‘Minhaj al-Tolibin’">ولو أقام ببلد بنية أن يرحل إذا حصلت حاجة يتوقعها كل وقت قصر ثمانية عشر يوما, وقيل: أربعة، وفي قول: أبدا. Maksudnya: “Jika seseorang menetap di sebuah negeri dengan niat bahawa dia akan meninggalkan (negeri itu) jika tercapai hajatnya(selesai sesuatu urusan) seperti yang dijangkakan, maka dia boleh qasar setiap waktu selama 18 hari. Ada pendapat lain selama 4 hari, juga terdapat qaul menyatakan selama-lamanya.”Walaubagaimana pun, pendapat yang muktamad di sisi Mazhab Syafi’ie ialah tidak lebih dari 18 hari iaitu tidak termasuk hari pergi dan pulang.
1 comment:
Salam...
Soalan: Dalam tempoh 3 hari tersebut (ketika berada di tempat destinasi, tidak termasuk hari pergi dan balik), kita boleh qasarkan solat. Adakah kita dibenarkan jamakkan solat? Banyak hadis yang saya baca (setakat ini) merujuk kepada membenarkan qasar dan tidak jamak.
Sefaham saya, Jamak sahaja (tiada qasar) atau Jamak&Qasar hanya dibenarkan ketika dalam perjalanan sahaja.
Mohon pencerahan.
Post a Comment