Carian Artikel di sini

Sunday, March 20, 2016

Amalan Ibu Bapa Terkait Dengan Anak-anak




Ketika saya ke rumah seorang sahabat di PJ, kebetulan ada seorang ibu muda di rumahnya. Ibu muda ini penampilannya agak "daring"....saya sempat dengar sahabat saya itu menegur dengan nada bergurau, "Wah...apasal ko seksi sangat datang rumah aku ni?". Dia hanya tersengeh. Pakaian hariannya memang sebegitu barangkali.

Dalam beberapa ketika, saya mula berkenalan dengannya. Tidak dinafikan orangnya baik dan ramah. Daripada perbualan ringkas itu dia menyatakan anaknya sekarang sedang mengikuti pengajian tahfiz.
Saya bertanya, "dah berapa lama di tahfiz?". Dia kata, "dah hampir 4 tahun". Saya tanya lagi, "Anak ini di madrasah full tahfiz atau sekolah tahfiz yang ada akademik?" Katanya,"Di madrasah full tahfiz. Tapi tak tau lah kenapa dah 4 tahun tah habis-habis lagi...tak tau macamana ustaz kat sana mengajar". Dia seolah-olah faham apa yang bermain di fikiran saya.

Saya kata, "bukan salah ustaz, bukan juga salah anak....." tapi saya tak sampai hati untuk meneruskan apa yang saya nak sampaikan kerana saya bimbang kata-kata saya nanti boleh mengguris hatinya. Kami baru saja berkenalan. Belum wajar untuk saya mengatakan punca sebenar anaknya jadi begitu kemungkinan besar adalah kerana jauhnya hubungan kita dengan Allah.

Saya cuma mampu menyambung sebegini,".....kita kena sedar kemampuan anak, kalau dah 4 tahun di tahfiz tak juga habis, tukarkan ia ke pengajian alim. Jangan bazirkan masanya dengan pengajian full tahfiz kerana setiap anak itu sudah ada ketetapannya insyaAllah".

Dia kelihatannya mendengar dengan penuh tekun. Tapi saya tak pasti adakah kata-kata saya bisa merubah perjalanan pengajian anaknya selepas itu. Perbualan kami sampai di situ sahaja. Malam semakin larut dan dia mula meminta izin pulang. Dalam hati, saya berdoa semoga anaknya nanti boleh menjadi asbab hidayah pada seluruh keluarganya.

Kenapa saya bercerita tentang kisah ibu muda ini?

Ia adalah untuk mengambarkan bahawa setiap ibu, setiap keluarga bercita-citakan anak mereka menjadi seorang huffaz. Tetapi sedihnya bila tanggungjawab bergelar huffaz hanya diletakkan di bahu guru dan anak itu sahaja. Sedangkan berjaya ataupun tidak seseorang itu bergelar huffaz adalah hasil daripada usaha seluruh ahli keluarganya terutama ibubapa si anak. Lagilah ibunya. Ibu yang solehah kan madrasah untuk anak-anak. Bahasa mudahnya, makin dekat ibubapa dengan Allah, makin cemerlang si anak.

Anak saya beberapa hari lepas ada bercerita tentang seorang sahabatnya di madrasah. Dia kata pelajar ini sangat cemerlang hafalannya. Sekarang pelajar ini mewakili madrasahnya dalam pertandingan hafazan peringkat kebangsaan. Saya berkata, "Umi nak sangat berkenalan dengan ibubapanya sebab umi nak tahu apa amalan ibubapanya yang membuatkan si anak sehebat itu". Anak saya nampak terpinga-pinga dengan jawapan saya.

Saya terang, "Abang ingat tak apa kata ustaz?. Bagusnya hafalan seorang pelajar tahfiz bukan pada usahanya semata-mata tapi amalan harian ibubapanya...jadi umi pun nak belajar ". Kata anak saya, "Oo patutlah ada pelajar kat sana nampak sangat rajin hafaz...tetapi peningkatan hafalan juzuknya tak sebanyak mana. Kesian mereka ni umi...ustaz pun tak boleh buat apa-apa."

"Ye abang...ibubapa diaorang nak kena sedar..".
Saya juga sedih. Kesian kat anak-anak ni. Tapi hidayah itu milik Allah. Segala amalan kita juga atas ehsan Allah sebenarnya. Jangan sesekali menganggap segala amalan yang kita lakukan ini datang dengan sendiri. Semuanya atas izin Allah. Berdoalah semoga Allah sentiasa mengekalkan taufiq dan hidayahnya ke atas keluarga kita.

Sahabat, dah lama saya perasan, bila saya post status berkaitan tips menjadikan anak-anak hafiz, post itu akan di"like" dan dishare oleh beratus followers.

Tetapi bila saya post status berunsur nasihat seperti perlunya menutup aurat dengan sempurna....jangan post gambar2 kita yang mendedahkan aurat... aurat lengan...aurat kaki....sentiasa berusaha untuk bermuhasabah diri..... dekat dengan Allah.....hanya beberapa orang sahaja yang "like". Mungkin post saya itu dirasakan tidak sesuai. Namun walaupun tidak di"like", saya tetap berdoa semoga post itu masih sudi dibaca lalu menjadi asbab hidayah suatu masa nanti.

Keadaan ini memberi kefahaman kepada saya bahawa tidak dinafikan, ramai yang inginkan kebaikan dalam keluarga....ramai nak anak-anak jadi baik...kalau boleh jadi hafiz hafizah tetapi majoritinya tidak kuat untuk merubah diri sendiri terlebih dahulu.

Orang-orang yang berjaya melahirkan anak-anak yang baik akhlaknya...mereka bukan mendapat anugerah sedemikian dengan mudah. Mereka struggle dari awal! Mereka didik anak-anak bersolat awal waktu, melatih anak-anak meraikan solat-solat sunat, mengaji banyak-banyak dalam sehari, mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah. Segala itu hanya mampu dilakukan jika ibubapa itu sendiri menjadikan apa yang disuruh itu amalan sehariannya juga.

Teringat kata-kata Ustaz Yusuf Mansur pendakwah dari Indon. Beliau menceritakan masa dulu-dulu beliau nak sangat seorang isteri yang gemar bersolat dhuha. Jadi apa yang dia buat, dia pastikan dirinya terlebih dahulu rajin berdhuha. Tak berapa lama, beliau ditemukan jodoh dengan pasangan yang seperti yang diimpikannya.

Perlu difahami yang amalan berdhuha itu bukan boleh menjadi kelaziman setiap orang jika ia tidak disertai terlebih dahulu dengan amalan-amalan lain sebagai asas kekuatan iman. Jadi jika ditemui seseorang yang rajin berdhuha bermakna dia juga kuat dari segi amalan2 yang lain juga.
Dan kebanyakan kita hari ini....mengharapkan keajaiban itu berlaku tanpa kita perlu berbuat apa-apa?
Fikirkanlah.
Semoga apa yang saya tulis ini memberi manfaat dan menjadi sumber kekuatan untuk diri saya sendiri dalam meneruskan perjuangan hidup yang masih blum selesai..
( Sumber : FB Aida Fzl )

No comments:

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran