Carian Artikel di sini

Saturday, July 4, 2009

Air atau Besi?

Gambar hiasan dari USGS


Hari ini saya ingin bawakan kisah besi dan air. Secara fizikalnya kita nampak dengan nyata perbezaan di antara besi dan air. Besi, keras dan kuat sementara air, lemah dan lembik. Perbezaan inilah yang membuatkan besi sering mendabik dada kepada sahabatnya, air.


"Lihat diri aku, kuat dan keras bukan seperti kamu yang lemah dan lembik." Selalu besi berkata begitu dengan sombong sekali tapi air yang terkenal dengan ciri-ciri lemah dan lembut hanya diam sahaja mendengar besi mendabik dada.


Suatu hari, besi mengajak air berlumba melalui sebuah gua dan jurang yang penuh dengan rintangan. Pada fikirannya tentu dia akan menang kerana dia kuat dan keras.


"Barangsiapa yang dapat melalui gua dan jurang itu dengan selamat tanpa kecederaan, maka dialah yang menang" kata besi. Air bersetuju dan mereka pun memulakan perlumbaan tersebut.


Rintangan pertama ialah mereka terpaksa melalui pintu gua yang dipenuhi dengan batu-batu yang keras dan tajam. Besi menunjukkan kekuatannya dengan menghentakkan dirinya ke batu-batu tersebut. Keras berlawan dengan keras, tentulah ada yang tercedera. Besi mengalami kecederaan pada tubuhnya. Sementara air melawan kekuatan batu-batu itu dengan kelembutan. Ia menjatuhkan dirinya setitis demi setitis sehingga batu-batu itu terhakis sedikit demi sedikit dan akhirnya air dapat melintasi batu-batu yang tajam itu dengan selamat tanpa kecederaan. Sudah tentu air menang dalam rintangan yang pertama.


Rintangan yang kedua pula ialah mereka terpaksa melalui ruang-ruang dan celah-celah yang sempit di dalam gua. Besi dengan bangganya cuba menembusi celah-celah yang sempit itu dengan memutarkan dirinya. Ruang-ruang yang sempit itu sungguh sulit untuk ditembusi. Semakin kuat besi berputar, semakin besar ruang-ruang itu tetapi semakin banyak kecederaan yang dialaminya. Sementara air mengalir santai di celah-celah ruang sempit tersebut kerana cirinya yang lembut itu dengan mudah dapat membentuk mengikut ruang-ruang tersebut. Sekali lagi air menang dalam rintangan yang kedua.


Mereka tiba di luar gua. Untuk sampai ke garisan penamat mereka harus melintasi rintangan yang ketiga pula iaitu mereka terpaksa melalui satu jurang. Besi tidak tahu apa yang harus dilakukannya untuk melepasi rintangan ini kerana didapatinya jurang itu amat dalam dan lebar.


"Aku sudah kalah dua kali di tangan kamu. Aku akan mengakui kehebatan kamu sekiranya kamu dapat melalui rintangan terakhir ini dengan jayanya" kata besi kepada air.


Air juga mengalami kesulitan untuk melintasi jurang tersebut tanpa kecederaan. Ia berfikir dan cuba mencari jalan. Akhirnya ia membiarkan dirinya diserap oleh matahari menjadi wap dan kemudian membentuk awan. Dengan bentuk ini, air dengan mudah dapat terbang. Dengan bantuan angin, air ditiup ke seberang jurang tersebut dengan selamat. Tiba di seberang, air membentuk semula dirinya ke bentuk asal dan turun sebagai hujan. Dengan itu air telah memenangi ketiga-tiga rintangan itu.


Pilihan di tangan kita samada kita ingin menjadi seperti besi atau air. Bagi saya, ada situasi yang kita perlu menjadi besi dan ada situasi yang kita perlu menjadi air. Mari kita sama-sama fikirkan...

No comments:

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran