Carian Artikel di sini
Monday, July 6, 2009
Kita, Persekitaran & Kehebatan
Perjalanan tiga botol minuman "diet coke" bermula dari sebuah kilang yang terletak di pinggir sebuah bandar. Ketiga-tiga botol itu telah bersiap sedia untuk di hantar ke destinasi masing-masing oleh sebuah lori penghantaran.
Destinasi botol pertama adalah di sebuah pasaraya tempatan. Botol ini diturunkan di sini dan ditempatkan di atas sebuah para bersama dengan botol-botol minuman yang lain. Dia diletakkan tanda harga RM3.
Destinasi botol kedua pula adalah di sebuah restoren di bandar. Botol itu di tempat di dalam peti sejuk, tempat yang nyaman dan selesa dan dia diberi tanda harga RM5.
Botol yang ketiga dibawa ke destinasi yang paling "exclusive" iaitu hotel bertaraf 5 bintang. Botol minuman yang ketiga ini tidak dipamerkan di tempat yang terbuka di hotel itu. Ia hanya akan dikeluarkan bila ada pelanggan yang memesan. Bila ada pelanggan yang meminta minuman ini, ia akan dihidangkan di dalam sebiji gelas kristal yang berkilau bersama beberapa ketul kiub ais. Pelayan hotel akan membuka penutup dan menuang minuman tersebut ke dalam gelas dan menghulurkan kepada pelanggan dengan sopan. Harga yang diletakkan pada minuman yang ketiga ialah RM10.
Mengapa ketiga-tiga botol "diet coke" itu memiliki harga yang berbeza padahal ia diproses di kilang yang sama dengan cara yang sama, dihantar ke destinasi dengan lori penghantaran yang sama bahkan rasanya juga tidak ada bezanya? Bagaimana kisah "diet coke" di atas boleh dikaitkan dengan kehidupan kita?
Ya, apabila kita berada di persekitaran yang mampu mengeluarkan sesuatu yang terbaik dari dalam diri kita, maka kita akan menjadi hebat dan cemerlang. Sebaliknya akan berlaku apabila kita berada di persekitaran yang kurang memberangsangkan. Jika kita ingin mempunyai sikap yang positif, maka bergaullah dengan orang-orang yang bersikap positif dan optimis. Jika kita inginkan kejayaan, tak dapat tidak, kita harus bersahabat dengan orang-orang yang telah mencapai kejayaan. Selagi boleh memilih, maka pilihlah untuk berada di persekitaran yang mampu membuatkan kita rasa hebat dan kita akan jadi hebat, insyaAllah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment