Suatu masa dulu ada seorang Raja yang memiliki kekayaan yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun. Apa saja yang dihajatinya, semua telah tersedia dalam istana yang indah seperti mahligai. Raja itu dihormati oleh rakyat jelata, ke mana saja dia pergi, dia akan mendapat perhatian tapi jauh di sudut hatinya, Raja tersebut tidak merasa bahagia. Ada sesuatu yang menganggu jiwa dan perasaannya tapi dia sendiri tidak tahu kenapa dia tidak berasa gembira.
Pada suatu hari, Raja itu bangun awal dan bersiar-siar di sekeliling istana baginda. Ketika tiba di ruang dapur, langkah baginda terhenti bila baginda terdengar satu suara yang bernyanyi riang. Baginda mengintai kerana ingin tahu siapakah gerangan yang menyanyi itu. Rupa-rupanya orang gaji istana yang sedang melakukan kerja sambil bernyanyi riang. Baginda kemudiannya menegur orang gaji tersebut.
"Kenapa kamu nampaknya sungguh gembira?" tanya Raja.
"Tuanku, saya ini hanya orang gaji tapi saya bersyukur dengan apa yang saya ada. Saya ada isteri dan anak dan kami bahagia. Kami tidak perlukan kehidupan yang mewah, cukuplah sekadar rumah kecil untuk kami berlindung daripada hujan dan panas, makanan yang cukup untuk membuatkan kami tidak kebulur dan pakaian yang sederhana supaya kami tidak bertelanjang" balas orang gaji tersebut.
Baginda kemudiannya berlalu. Raja pergi menemui penasihat baginda dan menceritakan segala yang berlaku tentang orang gaji tersebut. Baginda mengharapkan agar penasihat memberi sedikit pandangan mengenai hal itu.
"Tuanku, saya percaya orang gaji tersebut belum menyertai KELAB 99" kata penasihat baginda.
"KELAB 99? Beta tidak pernah mendengar nama kelab tersebut" tanya Raja kehairanan.
"Tuanku, untuk mengetahui dengan lebih jelas apa itu KELAB 99, Tuanku perlu membuat perkara berikut. Masukkan 99 keping wang emas ke dalam sebuah beg dan letakkan beg itu di muka pintu rumah orang gaji tersebut. Nanti Tuanku akan faham tentang KELAB 99"
Raja pun membuat seperti yang dikatakan oleh penasihatnya. Ingin saja baginda menggenapkan kepingan wang emas menjadi 100 keping tapi baginda tetap mengikut seperti yang dikatakan oleh penasihat tersebut.
Ketika pulang dari kerja, orang gaji itu ternampak sebuah beg di muka pintu rumahnya. Dia membuka beg itu kerana ingin mengetahui isi di dalamnya. Alangkah terperanjatnya apabila dia mendapati ada wang emas yang banyak dalam beg tersebut. Dia memanggil isterinya dan mereka pun mula mengira kepingan wang emas itu. Ada 99 keping semuanya.
"Pelik, kenapa ada 99 keping, kenapa bukan 100 keping"
Orang gaji itu tidak puas hati. Dikiranya lagi wang emas itu. Memang ada 99 keping walaupun dikira berkali-kali. Dia mula merasa hairan. Dia mula mencari sekeping wang emas yang pada sangkaannya mungkin tercicir di mana-mana. Dia percaya tidak mungkin ada orang yang akan meletakkan 99 keping wang emas tanpa menggenapkannya menjadi 100 keping. Sepanjang malam dia mencari sekeping wang emas yang tercicir itu di sekeliling rumah namun tidak bertemu. Dia berfikir bagaimana untuk mendapatkan sekeping wang emas supaya genap menjadi 100 keping. Ahirnya orang gaji itu terlena keletihan.
Keesokan paginya, dia terlewat bangun. Dengan tidur yang tidak cukup, perasaannya jadi tidak menentu. Dia mula marah-marah kepada isteri dan anaknya kerana tidak mengejutkan dia di pagi itu. Apa yang tidak disedarinya ialah dia terlalu banyak membuang masa memikirkan tentang sekeping wang emas itu. Dia pergi kerja dengan perasaan yang tidak gembira seperti selalu dan sepanjang hari itu dia sentiasa merungut tentang kerjanya.
Raja memerhati kerenah orang gaji baginda hari itu. Sekali lagi baginda kehairanan melihat perubahan yang mendadak berlaku pada orang gaji tersebut. Baru semalam baginda mendapati orang gaji itu bernyanyi riang tapi hari ini sikapnya sungguh berbeza sekali. Baginda pun pergi menemui penasihat itu sekali lagi dan menceritakan apa dilihat oleh baginda tentang orang gaji itu.
"Tuanku, orang gaji itu secara rasminya telah menyertai KELAB 99. Kelab itu hanyalah nama yang diberikan kepada orang-orang yang memiliki segalanya tapi masih merasakan tidak puas hati. Justeru itu, mereka akan sentiasa bekerja keras untuk menggenapkannya menjadi 100. Kita sebenarnya boleh hidup dengan apa yang kita miliki tapi sekiranya kita diberi lebih, maka kita mahu lebih dan lebih lagi. Semakin banyak yang kita dapat, semakin kita rasa tidak cukup. Kita kekurangan tidur disebabkan otak kita sentiasa berfikir bagaimana untuk mendapatkan yang lebih itu. Dalam pada itu, ada kalanya kita menyakiti hati orang-orang yang kita sayang. Kita tidak lagi memberi sepenuh perhatian kepada mereka disebabkan fikiran kita yang hanya terfokus untuk mendapatkan yang lebih. Kita tidak akan merasa bahagia jika begitu keadaannya. Untuk pengetahuan tuanku, itulah dia KELAB 99" penasihat itu memberi penjelasan yang panjang lebar kepada Raja tesebut.
Raja itu mengangguk tanda faham. Mulai hari itu baginda sentiasa bersyukur dengan apa yang baginda miliki di dalam istana tersebut. Akhirnya raja tersebut mendapat ketenangan dan kebahagiaan yang tidak pernah baginda rasakan sebelum ini..
No comments:
Post a Comment