Carian Artikel di sini

Thursday, February 19, 2009

Epal & Jambu Batu

Seorang guru matematik, Cikgu Fatimah sedang mengajar murid-murid Tahun Satu. Dia bertanya kepada seorang murid yang bernama Khalil.


"Khalil, jawab soalan cikgu. Jika cikgu beri kepada kamu sebiji epal dan sebiji lagi dan sebiji lagi, berapa biji epal yang kamu ada sekarang?"


" Empat biji, cikgu"


Cikgu Fatimah mengharapkan Khalil menjawab "tiga biji". Beliau agak kecewa.


"Ah, mungkin juga Khalil tidak mendengar soalan betul-betul" fikir cikgu Fatimah.


"Khalil, dengar betul-betul. Jika saya beri kamu sebiji epal dan sebiji lagi dan sebiji lagi, berapa biji epal yang kamu ada sekarang?"


Khalil memahami kekecewaan yang jelas terbayang di wajah gurunya. Dia cuba mengira dengan menggunakan jari jemarinya. Dia juga berfikir kenapa agaknya jawapan yang diberinya seolah-olah salah pada pandangan cikgu Fatimah. Selepas beberapa lama mengira jari, akhirnya Khalil menjawab soalan guru tersebut.


"Empat biji, cikgu"


Cikgu Fatimah bertambah kecewa. Kemudian beliau teringat yang Khalil suka buah jambu batu. Cikgu Fatimah terfikir mungkin Khalil hilang fokus kerana dia tidak suka epal. Kemudian dia bertanya lagi kepada Khalil dengan muka yang ceria.


"Jika saya beri kamu sebiji buah jambu batu dan sebiji lagi dan sebiji lagi, berapa biji buah jambu batu yang kamu ada sekarang?"


Melihat wajah cikgu Fatimah yang ceria itu, Khalil mengira lagi jari jemarinya. Khalil tenang saja tapi cikgu Fatimah sedikit rasa tertekan. Dia berharap Khalil dapat menjawab dengan betul pada kali ini. Dengan penuh yakin, Khalil menjawab.


"Tiga biji, cikgu"


Cikgu Fatimah tersenyum lebar. Caranya dengan menukar jenis buah itu berkesan nampaknya. Beliau ingin mengucapkan tahniah kepada dirinya sendiri. Tapi sekali lagi beliau bertanya kepada Khalil.


"Sekarang saya beri kepada kamu sebiji epal dan sebiji lagi dan sebiji lagi, berapa biji epal yang kamu ada sekarang?"


"Empat biji, cikgu" Khalil menjawab dengan spontan.


Cikgu Fatimah terkejut dengan jawapan Khalil. Beliau mula rasa nak marah kepada Khalil.


"Kenapa dan bagaimana boleh jadi empat biji?"


Khalil rasa gerun mendengar suara Cikgu Fatimah yang agak tinggi itu. Dengan suara yang terketar-ketar dia menjawab.


"Kerana di dalam beg saya, ada sebiji epal lagi yang saya bawa dari rumah. Kalau cikgu bagi sebiji epal dan sebiji lagi dan sebiji lagi ditambah dengan epal yang memang ada di dalam beg saya, tentu jadi empat biji"


Cikgu Fatimah terdiam, tidak tahu apa yang harus diucapkan kepada Khalil.


Moralnya kepada kita

Dalam sesuatu perbincangan tidak kira samada perbincangan keluarga, perbincangan di tempat kerja atau di mana sahaja, jika seseorang memberi pendapat yang berbeza, tidak seperti yang kita harapkan, jangan terlalu mudah mengatakan bahawa pendapat itu tidak betul atau salah. Mungkin ada aspek-aspek yang kita tidak nampak dan tidak faham. Luangkan masa untuk mendengar penjelasan dan jangan cepat melenting jika pendapat orang lain berbeza daripada pendapat kita. Cara kita memandang dan memahami sesuatu perkara itu berbeza dan sudah tentu kita ada pendapat yang berbeza-beza juga. Kita tidak boleh memaksa orang lain menerima pendapat kita begitu juga sebaliknya. Tidak ada pendapat yang betul atau salah. Mungkin nampak salah di mata kita tapi nampak betul di mata orang lain. Jadi belajarlah menghormati pendapat orang lain. Menghormati pendapat orang lain tidak semestinya kita menerima pendapat tersebut.

No comments:

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran