"Resepi yang mak bagi ni..Chek jangan bagi kat oghang lain tau." kata ibu mertua saya dalam loghat Pulau Pinangnya.
"Ha'a la kak..jangan bagi kat oghang resepi tu" kata adik ipar (perempuan) saya pula.
"Kenapa mak?" tanya saya kehairanan. Pada saya apa salahnya jika resepi itu dikongsi dengan orang lain.
"Itu resepi istimewa mak. Dengan resepi tu boleh buat duit. Oghang juai resepi la ni tau" kata ibu mertua saya lagi.
Betul. Resepi memang boleh dijual. Di kedai-kedai buku bersepah buku resepi yang pelbagai tapi itu kalau sudah menjadi buku resepi. Adakah ibu mertua saya ingin terbitkan buku resepinya sendiri? Bagus jugak jika dia ingin berbuat demikian.
"Kalau oghang dah tau resepi tu, nanti oghang tak mai tempah dah kuih ni dengan kita, oghang akan buat sendiri. Nanti slow la bisnes kita" ibu mertua saya menambah.
Begitu rupanya. Saya terdiam... tidak berkata apa-apa. Sesekali ingin juga saya menyatakan pendapat saya tapi saya pendamkan saja di lubuk hati, bimbang perasaan ibu mertua saya akan terguris pula jika saya bersuara.
Berbeza sekali dengan didikan yang saya terima daripada ibu dan ayah saya sendiri. Ibu dan ayah saya mendidik saya supaya sentiasa berkongsi sesuatu (yang boleh dikongsi) dengan orang lain. Pendidikan yang diberi bukan sekadar lisan di bibir tapi secara praktikal. Saya diajar berkongsi harta benda dengan adik beradik yang lain, berkongsi ilmu dengan kawan-kawan di sekolah, berkongsi tenaga mengerjakan sawah dan sebagainya.
Apalah salahnya berkongsi resepi. Itu juga salah satu cabang ilmu. Dan semua ilmu itu dari Allah belaka yang dipinjamkan kepada kita tapi kita seolah-olah menjadikan ilmu itu hak milik peribadi kita yang tidak boleh dikongsi dengan orang lain. Ada masa kita berkongsi secara percuma dan ada ketikanya kita dapat bayaran tapi yang pentingnya kita sebarkan ilmu tersebut supaya orang lain juga boleh mendapat manfaat daripadanya.
Ilmu pengetahuan itu akan jauh lebih bermanfaat jika diamalkan. Hanya dengan cara kita mengembangkan ilmu tersebut kepada orang lain dan mereka pula mempraktikkannya, maka ilmu itu akan berterusan dan berkembang. Tindakan tersebut, di samping menjadikan kita lebih menguasai ilmu itu, kita juga mendapat keuntungan dari pelbagai aspek seperti aspek sosial dan financial. Namun yang terlebih baik dari itu semua ialah ganjaran pahala dari Allah. Ilmu yang dimanfaatkan akan menjadi pembantu kita apabila kita mati selain dari amalan yang baik dan doa dari anak-anak yang soleh.
Mungkin kisah Zul dan Fikri ini akan menunjukkan kepada kita di antara kesan dan kebaikan berkongsi ilmu pengetahuan dengan orang lain. Zul dan Fikri, dua orang sahabat baik yang cukup mahir dalam memancing ikan. Jika ada acara pertandingan memancing, mereka berdualah yang selalu menjadi pemenang kerana mendapat jumlah ikan yang paling banyak.
Suatu hari, selepas pertandingan memancing, Zul dan Fikri didatangi oleh sepuluh orang yang baru hendak berjinak dengan aktiviti memancing. Tujuan mereka ialah untuk belajar dan mendapatkan tips memancing ikan. Zul, bagaimanapun menunjukkan reaksi yang kurang senang dengan kehadiran orang-orang tersebut. Dengan perasaan yang terganggu dia menolak permintaan mereka yang hendak belajar memancing dengannya.
Manakala Fikri pula menunjukkan reaksi yang sebaliknya. Dia berlapang dada untuk berkongsi teknik memancing ikan kepada sepuluh orang tersebut dengan syarat, masing-masing di antara mereka harus memberikan seekor ikan kepadanya sebagai bonus jika masing-masing berjaya mendapat sepuluh ekor ikan. Tetapi jika jumlah ikan yang ditangkap kurang dari sepuluh ekor, maka mereka tidak perlu memberikannya apa-apapun.
Syarat itu dipersetujui dan mereka pun belajar teknik memancing daripada Fikri dengan hati yang gembira. Mereka memancing selama dua jam. Masing-masing mendapat lebih daripada sepuluh ekor ikan. Fikri dengan mudah mendapat 'bonus' ikan dari pemancing-pemancing baru itu dan dia juga mendapat sepuluh orang teman baru. Sementara Zul yang kedekut untuk berkongsi ilmunya tidak mendapat apa-apa.
Kisah Zul dan Fikri adalah di antara contoh yang paling mudah yang dapat kita lihat jika kita berkongsi ilmu dengan orang lain. Kita tidak akan kerugian sedikit pun sepertimana yang selalu kita bimbangkan sebaliknya kita akan mendapat beberapa kebaikan dan ganjaran daripadanya. Jika kita ada menyimpan sikap kedekut untuk berkongsi ilmu, maka hari ini ubahlah sikap yang tidak membawa sebarang keuntungan itu. Berkongsilah ilmu kerana ilmu itu bukan milik kita seorang. Ilmu yang baik wajar disebarkan agar semua orang mendapat manfaat daripadanya.
No comments:
Post a Comment