Carian Artikel di sini

Wednesday, August 5, 2009

Cuci Tingkap Sendiri

gambar hiasan dari Pyramid Aluminium


Sumber dari "The Precious Moment"

Sikap menentukan kejayaan. Itulah yang dapat saya kutip dari buku "You Can Win". Sikap juga menentukan cara kita bertindak. Jika positif sikap kita maka positif jugalah tindakan kita. Salah satu sikap yang selalu saya "highlight" kan dalam cerita-cerita di blog ini ialah sikap "terlalu cepat menjatuhkan hukuman" atau cepat mengkritik tanpa usul periksa. Kisah "ibu mertuaku.." yang saya tulis dua hari lepas menggambarkan sikap tersebut. Dan hari ini, ada lagi satu cerita yang mungkin berlaku di kalangan kita sendiri. Melihat kepada kesan negatif yang disebabkan oleh sikap ini, maka adalah terlebih baik untuk kita memperbaiki diri sendiri.


Sepasang suami isteri yang masih muda baru berpindah ke sebuah kawasan perumahan. Pada suatu pagi minggu yang indah, ketika pasangan ini sedang berbual-bual sambil bersarapan di ruang dapur rumah mereka, si isteri telah terpandang jiran sebelah rumahnya sedang menjemur pakaian. Dia mengintai jiran itu melalui sebuah tingkap cermin di ruang dapur rumah mereka.


"Mak Cik sebelah ni tak pandai basuh kain baju. Cuba abang tengok, kain baju yang dibasuhnya kelihatan masih kotor. Dia patut belajar macam mana nak basuh pakaian. Agaknya dia guna sabun yang murah." Kata si isteri kepada suaminya.


Suaminya melihat ke luar tingkap tapi tidak berkata apa-apa.


Setiap hari si isteri akan mengintai jirannya menjemur kain dan setiap kali jugalah si isteri akan memberi komen yang sama.


Sebulan kemudian, si isteri terkejut melihat pakaian yang dijemur oleh jirannya. Nampak bersih, tidak seperti selalu.


"Haa..Mak Cik ni dah belajar macam mana nak basuh kain baju. Cuba abang tengok, kain baju yang dijemur itu kelihatan bersih sekali hari ini. Siapa yang ajar dia agaknya ye.." Kata si isteri kepada suaminya.


Ketika ini si suami mencelah, "Abang bangun awal pagi tadi dan cuci tingkap cermin ini. Kotor dan berdebu. Awak tak perasan ke sebelum ini?"


Pertanyaan si suami menyebabkan si isteri terpinga-pinga. Si suami cuma tersenyum sinis melihat gelagat isterinya. Sengaja dia buat begitu kerana ingin menyedarkan isterinya yang asyik mengkritik mak cik sebelah rumah.


Alangkah baiknya, sebelum kita mengkritik tentang orang lain atau tentang sesuatu perkara, kita meneliti dan memeriksa "tingkap" kita sendiri samada bersih atau sebaliknya. Apa yang kita pandang di luar bergantung kepada kebersihan "tingkap" tersebut. Kadang-kadang "tingkap" itu terlalu kotor sehingga apa yang kita nampak di luar tidak bersih belaka di mata kita walaupun sebenarnya ianya bersih. "Tingkap" itu adalah fikiran dan sikap kita sendiri, fikiran dan sikap yang kita sendiri boleh kawal tahap kebersihannya. Mari kita memandang seseorang atau sesuatu dari sudut yang positif, mencari kebaikan sebelum melihat kejelekan. Kadang-kadang sikap negatif menyebabkan kita memandang negatif kepada hampir semua situasi walaupun situasi itu sebenarnya adalah positif.

No comments:

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran