Carian Artikel di sini

Sunday, March 20, 2016

Pengaruh Air dan Emosi ke atas Kesihatan Tubuh Badan


Al-Quran menjelaskan bahawa Allah menjadikan makhluk daripada air. Kajian menunjukkan setiap badan manusia mengandungi 60-75% air. Maka sifat buruk yang ada pada diri manusia akan mempengaruhi air dalam tubuh manusia boleh memberi kesan negatif pada seseorang.

Seorang pakar air dari Jepun didalam bukunya “The Healing dan Discovering the Power of the Water” oleh Dr. Masaru Emoto menyimpulkan bahawa :

1. MARAH selama 5 minit akan menyebabkan sistem imun tubuh kita menjadi lemah selama 6 jam.
2. DENDAM dan MENYIMPAN KEPAHITAN akan menyebabkan imun tubuh kita mati.. Dari situlah bermula segala penyakit, seperti Stress, Kolesterol, Hipertensi, Serangan Jantung, Rhematik, Arthtritis, Stroke (perdarahan/penyumbatan pembuluh darah)…..
3. Jika kita sering membiarkan diri kita Stress, maka kita sering mengalami Gangguan Pencernaan.
4. Jika kita sering merasa KHUATIR, maka kita mudah terkena penyakit Nyeri Bahu atau .
5. Jika kita MUDAH TERSINGGUNG, maka kita akan cenderung terkena penyakit Insomnia (susah tidur).
6. Jika kita sering mengalami KEBINGUNGAN, maka kita akan terkena Gangguan Tulang Belakang Bagian Bawah.
7. Jika kita sering membiarkan diri kita merasa TAKUT yang BERLEBIHAN, maka kita akan mudah terkena penyakit GINJAL.
8. Jika kita suka ber-NEGATIVE THINKING, maka kita akan mudah terkena DYSPEPSIA (penyakit sulit mencerna).
9. Jika kita mudah EMOSI & cenderung PEMARAH, maka kita terdedah terhadap penyakit HEPATITIS.
10. Jika kita sering merasa "SOMBONG" (tidak pernah peduli) terhadap lingkungan, maka kita akan berpotensi mengalami Penurunan Kekebalan Tubuh.
12. Jika kita sering MENGANGGAP MUDAH semua persoalan, maka hal ini boleh mengakibatkan penyakit Diabetes.
13. Jika kita sering merasa KESEPIAN, maka kita boleh terkena penyakit Demensia Senelis (berkurangnya memori dan kontrol fungsi tubuh).
14. Jika kita sering BERSEDIH dan merasa selalu KURANG KEYAKINAN DIRI(inferiority complex), maka kita boleh terkena penyakit Leukemia (kanser darah putih)

Amalan Ibu Bapa Terkait Dengan Anak-anak




Ketika saya ke rumah seorang sahabat di PJ, kebetulan ada seorang ibu muda di rumahnya. Ibu muda ini penampilannya agak "daring"....saya sempat dengar sahabat saya itu menegur dengan nada bergurau, "Wah...apasal ko seksi sangat datang rumah aku ni?". Dia hanya tersengeh. Pakaian hariannya memang sebegitu barangkali.

Dalam beberapa ketika, saya mula berkenalan dengannya. Tidak dinafikan orangnya baik dan ramah. Daripada perbualan ringkas itu dia menyatakan anaknya sekarang sedang mengikuti pengajian tahfiz.
Saya bertanya, "dah berapa lama di tahfiz?". Dia kata, "dah hampir 4 tahun". Saya tanya lagi, "Anak ini di madrasah full tahfiz atau sekolah tahfiz yang ada akademik?" Katanya,"Di madrasah full tahfiz. Tapi tak tau lah kenapa dah 4 tahun tah habis-habis lagi...tak tau macamana ustaz kat sana mengajar". Dia seolah-olah faham apa yang bermain di fikiran saya.

Saya kata, "bukan salah ustaz, bukan juga salah anak....." tapi saya tak sampai hati untuk meneruskan apa yang saya nak sampaikan kerana saya bimbang kata-kata saya nanti boleh mengguris hatinya. Kami baru saja berkenalan. Belum wajar untuk saya mengatakan punca sebenar anaknya jadi begitu kemungkinan besar adalah kerana jauhnya hubungan kita dengan Allah.

Saya cuma mampu menyambung sebegini,".....kita kena sedar kemampuan anak, kalau dah 4 tahun di tahfiz tak juga habis, tukarkan ia ke pengajian alim. Jangan bazirkan masanya dengan pengajian full tahfiz kerana setiap anak itu sudah ada ketetapannya insyaAllah".

Dia kelihatannya mendengar dengan penuh tekun. Tapi saya tak pasti adakah kata-kata saya bisa merubah perjalanan pengajian anaknya selepas itu. Perbualan kami sampai di situ sahaja. Malam semakin larut dan dia mula meminta izin pulang. Dalam hati, saya berdoa semoga anaknya nanti boleh menjadi asbab hidayah pada seluruh keluarganya.

Kenapa saya bercerita tentang kisah ibu muda ini?

Ia adalah untuk mengambarkan bahawa setiap ibu, setiap keluarga bercita-citakan anak mereka menjadi seorang huffaz. Tetapi sedihnya bila tanggungjawab bergelar huffaz hanya diletakkan di bahu guru dan anak itu sahaja. Sedangkan berjaya ataupun tidak seseorang itu bergelar huffaz adalah hasil daripada usaha seluruh ahli keluarganya terutama ibubapa si anak. Lagilah ibunya. Ibu yang solehah kan madrasah untuk anak-anak. Bahasa mudahnya, makin dekat ibubapa dengan Allah, makin cemerlang si anak.

Anak saya beberapa hari lepas ada bercerita tentang seorang sahabatnya di madrasah. Dia kata pelajar ini sangat cemerlang hafalannya. Sekarang pelajar ini mewakili madrasahnya dalam pertandingan hafazan peringkat kebangsaan. Saya berkata, "Umi nak sangat berkenalan dengan ibubapanya sebab umi nak tahu apa amalan ibubapanya yang membuatkan si anak sehebat itu". Anak saya nampak terpinga-pinga dengan jawapan saya.

Saya terang, "Abang ingat tak apa kata ustaz?. Bagusnya hafalan seorang pelajar tahfiz bukan pada usahanya semata-mata tapi amalan harian ibubapanya...jadi umi pun nak belajar ". Kata anak saya, "Oo patutlah ada pelajar kat sana nampak sangat rajin hafaz...tetapi peningkatan hafalan juzuknya tak sebanyak mana. Kesian mereka ni umi...ustaz pun tak boleh buat apa-apa."

"Ye abang...ibubapa diaorang nak kena sedar..".
Saya juga sedih. Kesian kat anak-anak ni. Tapi hidayah itu milik Allah. Segala amalan kita juga atas ehsan Allah sebenarnya. Jangan sesekali menganggap segala amalan yang kita lakukan ini datang dengan sendiri. Semuanya atas izin Allah. Berdoalah semoga Allah sentiasa mengekalkan taufiq dan hidayahnya ke atas keluarga kita.

Sahabat, dah lama saya perasan, bila saya post status berkaitan tips menjadikan anak-anak hafiz, post itu akan di"like" dan dishare oleh beratus followers.

Tetapi bila saya post status berunsur nasihat seperti perlunya menutup aurat dengan sempurna....jangan post gambar2 kita yang mendedahkan aurat... aurat lengan...aurat kaki....sentiasa berusaha untuk bermuhasabah diri..... dekat dengan Allah.....hanya beberapa orang sahaja yang "like". Mungkin post saya itu dirasakan tidak sesuai. Namun walaupun tidak di"like", saya tetap berdoa semoga post itu masih sudi dibaca lalu menjadi asbab hidayah suatu masa nanti.

Keadaan ini memberi kefahaman kepada saya bahawa tidak dinafikan, ramai yang inginkan kebaikan dalam keluarga....ramai nak anak-anak jadi baik...kalau boleh jadi hafiz hafizah tetapi majoritinya tidak kuat untuk merubah diri sendiri terlebih dahulu.

Orang-orang yang berjaya melahirkan anak-anak yang baik akhlaknya...mereka bukan mendapat anugerah sedemikian dengan mudah. Mereka struggle dari awal! Mereka didik anak-anak bersolat awal waktu, melatih anak-anak meraikan solat-solat sunat, mengaji banyak-banyak dalam sehari, mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah. Segala itu hanya mampu dilakukan jika ibubapa itu sendiri menjadikan apa yang disuruh itu amalan sehariannya juga.

Teringat kata-kata Ustaz Yusuf Mansur pendakwah dari Indon. Beliau menceritakan masa dulu-dulu beliau nak sangat seorang isteri yang gemar bersolat dhuha. Jadi apa yang dia buat, dia pastikan dirinya terlebih dahulu rajin berdhuha. Tak berapa lama, beliau ditemukan jodoh dengan pasangan yang seperti yang diimpikannya.

Perlu difahami yang amalan berdhuha itu bukan boleh menjadi kelaziman setiap orang jika ia tidak disertai terlebih dahulu dengan amalan-amalan lain sebagai asas kekuatan iman. Jadi jika ditemui seseorang yang rajin berdhuha bermakna dia juga kuat dari segi amalan2 yang lain juga.
Dan kebanyakan kita hari ini....mengharapkan keajaiban itu berlaku tanpa kita perlu berbuat apa-apa?
Fikirkanlah.
Semoga apa yang saya tulis ini memberi manfaat dan menjadi sumber kekuatan untuk diri saya sendiri dalam meneruskan perjuangan hidup yang masih blum selesai..
( Sumber : FB Aida Fzl )

4 Amalan Baik dan 4 Amalan Buruk


4 PERKARA YANG BAIK DAN CANTIK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BAIK DAN CANTIK DAN 4 PERKARA YANG BURUK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BURUK




Berkata sebahagian Hukama "Ada 4 perkara sangat-sangat baik dan cantik tapi terdapat 4 perkara yang lebih cantik dan 4 perkara yang buruk tapi ada 4 perkara yang lebih buruk."

4 PERKARA YANG BAIK DAN CANTIK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BAIK DAN CANTIK
1)Sifat malu itu baik kepada pada seorang lelaki tetapi lebih baik pada seorang perempuan yang pemalu.
2)Bersikap adil dan bijaksana itu baik untuk semua orang tapi lebih baik kalau ada pada Pemimpin.
3)Taubat oleh seorang Syeikh, orang tua itu baik dan cantik tapi lebih baik dan cantik taubat daripada anak-anak remaja.
4)Bersifat pemurah daripada orang kaya itu bagus tapi lebih bagus kalau dikatakan sifat pemurah itu kepada orang miskin

4 PERKARA YANG BURUK TETAPI ADA 4 PERKARA YANG LEBIH BURUK
1)Dosa daripada anak-anak muda itu jelek dan buruk tapi lebih jelek dan buruk lagi dosa daripada orang-orang tua.
2)Mengejar dunia itu buruk dan jelek untuk orang yang jahil tapi lebih jelek dan buruk lagi yang dikejar dunia itu oleh Para Ulama.
3)Malas dalam melaksanakan ibadah itu buruk dan jelek kepada semua orang tapi lebih jelek dan buruk kepada Para Ulama dan Para Penuntut Ilmu.
4)Sifat takabbur daripada orang-orang kaya itu buruk dan jelek tapi lebih jelek dan buruk daripada sifat takabbur daripada orang miskin

Amalan Bertahnik



Tahnik artinya mengunyahkan kurma dan menyuapnya ke mulut bayi yang baru lahir dengan cara mengerakkannya ke kanan dan ke kiri secara lembut. Ini merupakan sunnah sebagaimana tersebut dalam beberapa hadis. Orang yang melakukan tahnik pula hendaklah orang yang memiliki keutamaan, dikenal sebagai orang yang soleh, berilmu dan dipercayai umat. Hendaklah orang itu mendo’akan kebaikan dan keberkatan untuk bayi tersebut.

Hadis Nabi berkenaan tahnik :
Dari Asma binti Abi Bakar Ash-Shiddiq ketika ia sedang mengandung Abdullah bin Az-Zubair di Makkah, ia berkata, “Aku keluar dalam keadaan hamil menuju kota Madinah. Dalam perjalanan aku singggah di Quba dan di sana aku melahirkan. Kemudian aku mendatangi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dan meletakkan anakku di pangkuan Baginda. Baginda meminta kurma lalu mengunyahnya dan meludahkannya ke mulut bayi itu, maka yang pertama kali masuk ke halkumnya adalah ludah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam. Setelah itu beliau mentahniknya dengan kurma dan mendo’akan barakah baginya. Lalu Allah memberikan barakah kepadanya (bayi tersebut).” [Dikeluarkan oleh Al-Bukhari (5469 Fathul Bari), Muslim (2146, 2148 Nawawi), Ahmad (6247) dan At-Tirmidzi (3826)]

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari hadis Abu Burdah dari Abu Musa, dia berkata,
وُلِدَ لِى غُلاَمٌ فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ
“Pernah dikaruniakan kepadaku seorang anak laki-laki, lalu aku membawanya ke hadapan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, maka Baginda memberinya nama Ibrahim dan mentahniknya dengan sebuah kurma.”[Dikeluarkan oleh Al-Bukhari (5467 Fathul Bari) Muslim (2145 Nawawi), Ahmad (4/399), Al-Baihaqi dalam Al-Kubra (9/305) dan Asy-Syu’ab karya beliau (8621, 8622)]
Al-Bukhari menambahkan, “Dan bBaginda mendo’akan keberkahan baginya seraya menyerahkannya kembali kepadaku.” Dan dia adalah anak tertua Abu Musa Radhiyallahu ‘anhu.
Dari Anas bin Malik Radhiyallahu ‘anhu ia berkata: “Aku pergi membawa Abdullah bin Abi Thalhah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam ketika ia baru dilahirkan. Aku mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam….. Baginda bersabda kepadaku “Adakah kurma bersamamu?”. Aku jawab, “Ya (ada)”. Baginda lalu mengambil bebeberapa kurma dan memasukkannya ke dalam mulutnya, lalu mengunyahnya sampai lumat. Kemudian Baginda mentahniknya, maka bayi itu membuka mulutnya. Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian memasukkan kurma yang masih ada di mulut Baginda ke mulut bayi tersebut, maka mulalah bayi itu menggerak-gerakan hujung lidahnya (merasakan kurma tersebut). Melihat hal itu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Kesukaan orang Anshar adalah kurma”. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.” [Dikeluarkan oleh Al-bukhari (5470 Fathul Bari), Muslim (2144 Nawawi), Abu Daud (4951), Ahmad (3/105-106) dan lafadh ini menurut riwayat Ahmad dan diriwayatkan juga oleh Al-baihaqi dalam Asy-Syu’ab (8631)]
Hadis-hadis di atas jelas menunjukkan sunnahnya tahnik ini dan peringatan buat kita semua agar tidak lupa melakukannya ketika menimang cahaya mata.

Berkata Imam Nawawi dalam Syarhu Muslim (14/372): “Dalam hadis-hadis ini ada faidah, di antaranya: Dianjurkan mentahnik anak yang baru lahir, dan ini merupakan sunnah dengan ijma’. Hendaknya yang mentahnik adalah orang yang shalih dari kalangan laki-laki atau wanita. Tahnik dilakukan dengan kurma dan ini mustahab, namun andai ada yang mentahnik dengan selain kurma maka telah terjadi perbuatan tahnik, akan tetapi tahnik dengan kurma lebih utama. Faidah lain diantaranya menyerahkan pemberian nama untuk anak kepada orang yang shalih, maka ia memilihkan untuk si anak nama yang ia senangi.” [Dinukil dengan olahan semula]

Hikmah Tahnik :
Perbuatan tahnik adalah untuk mengharapkan kebaikan bagi si anak dengan keimanan, karena kurma adalah buah dari pohon yang diumpamakan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dengan seorang mukmin dan juga karena manisnya. Lebih-lebih bila yang mentahnik itu seorang yang memiliki keutamaan, ulama dan orang shalih, karena ia
memasukkan air ludahnya ke dalam kerongkongan bayi. Tidaklah engkau lihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam tatkala mentahnik Abdullah bin Az-Zubair, dengan barakah air ludah Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam Abdullah telah menghimpun keutamaan dan kesempurnaan yang tidak dapat digambarkan. Dia seorang pembaca Al-Qur’an, orang yang menjaga kemuliaan diri dalam Islam dan terdepan dalam kebaikan. [Umdatul Qari bi Syarhi Shahih Al-Bukhari (21/84) oleh Al-Aini dengan sedikit olahan semula]

Pedoman Hukum dari Hadis Tahnik :
Pertama: Para ulama sepakat tentang sunnahnya mentahnik bayi yang baru lahir dengan kurma dan ia sunat dilakukan di hari pertama.
Kedua: Jika tidak ada kurma untuk mentahnik, maka boleh digantikan dengan sesuatu yang manis seperti madu.
Ketiga: Cara tahnik adalah orang yang mentahnik mengunyah kurma sehingga lumat dan mudah ditelan, lalu dia membuka mulut si bayi dan menyuap sedikit kunyahan kurma itu menggunakan jari telunjuknya ke langit-langit mulut bayi itu dengan cara mengerak-gerakkan jari ke kanan dan kekiri sehingga bayi itu mengisap dan menelan cairan kurma tersebut.
Keempat: Hendaklah yang melakukan tahnik adalah orang sholih sehingga boleh diminta do’a keberkatannya. Jika orang sholih tersebut tidak hadir, maka hendaklah bayi tersebut yang dibawa menemui orangnya.
Kelima : sebahagian ulama menyatakan urutan keutamaan makanan yang dijadikan bahan untuk mentahnik ialah: tamar (kurma kering); barulah rutob (kurma basah); barulah makanan manis seperti madu; dan setelah itu adalah makanan yang tidak disentuh api.

P/S : meludah ke mulut bayi hanya khususiyah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam . Manakala selain Baginda maka tidak boleh bertabarruk dengan air ludahnya. Oleh itu dianjurkan juga bertabarruk dengan air zam zam yang ada keberkatannya tersendiri.

Doa dan amalan para solihin semasa mentahnik bayi :
Sebahagian dari amalan dan doa yang ana terima dari guru-guru ana antaranya tuan guru haji Yahya Junait, Syekh Zakaria Awang Besar, dan Tuan guru Haji Soleh Penanti :
Bacaan sebelum berdoa :
Sesudah ditahnikkan adalah baik dibaca terlebih dahulu bacaan di bawah ini mudah – mudahan menjadi anak yang soleh atau solehah, terpelihara dari gangguan syaitan dan sihat tubuh badan. insya Allah :

Surah yusuf ayat 64 :

فَاللَّهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ

Allah jualah penjaga Yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja Yang menaruh belas kasihan".

Surah al-Buruj ayat 20-21 :

وَاللَّهُ مِنْ وَرَائِهِمْ مُحِيطٌ , بَلْ هُوَ قُرْءَانٌ مَّجِيدٌ , فِى لَوْحٍ مَحْفُوظٍ

20. sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)! 21. (Sebenarnya apa Yang Engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran Yang tertinggi kemuliaannya; 22. (lagi Yang terpelihara Dengan sebaik-baiknya) pada Lauh Mahfuz.

Surah al-Hijr ayat 17 :

وَحَفِظْنَاهَا مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ رَّجِيمٍ

4- surah al- Ikhlas , 5- surah al-alaq , 6- surah an-Nas, 7- bacaan :
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِن كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ وَمِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ 

Aku mohon perlindungan dengan kalimat-kalimat allah yang sempurna dari kejahatan panahan mata dengki dan syaitan serta setiap kemudaratan.

8- Bacaan :
حَصَنْتُهُ بِالْحَيِّ الْقَيُّمِ وَدَفَعْتُ عَنكَ بِأَلْفِ أَلْفِ لاَحَوْلَ وَقُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ
Aku serahkan jagaan dirimu ( anak ) kepada tuhan Yang Maha Hidup dan Yang Maha Berkuasa,
Aku pertahankan dirimu ( anak ) dengan sejuta ucapan la haula wala Quwwata illa Billlahil aliyyi al-adhim.. 

9- surah al-Qadr , 10- Surah al-Ikhlas , 11- Bacaan doa :
اللَّهُمَّ أَنْشَأَهُ نَشْأَةً صَالِحَةً وَأَحْيِهِ حَيَاةً طَيِّبَةً وَأَسْعِدْهُ سَعَادَةَ الْحُسْنَى وَاجْعَلْهُ بَرًّا بِوَالِدَيْهِ غَيْرَ عَاقٍ لَهُمَا وَاجْعَلْهُ مِنَ الصَّالِحِينَ الْعَارِفِينَ الْعَامِلِينَ وَأَكْفِهِ شَرَّ النَّظْرَةِ وَالْعَيْنِ وَالْحَاسِدِينَ وَأَعِذْهُ عَن خَلْقِكَ أَجْمَعِينَ وَلاَتُحْوِجْهُ إِلاَّ لِوَجْهِكَ الْكَرِيْمِ وَاغْفِرْ لِوَالِدَيْهِ وَالْحَاضِرِينَ أَجْمَعِينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ


MAKSUDNYA :
Ya Allah hidupkanlah dia dengan kehidupan yang soleh dan baik, bahagiakanlah dia dengan kebahagian yang sempurna, jadikanlah dia anak yang berbakti kepada kedua ibu bapanya, tidak menderhakai mereka berdua, jadikanlah dia tergolong di kalangan orang-orang yang soleh, berpengetahuan agama dan beramal. Selamatkanlah dia dari kejahatan panahan mata dan orang yang berdengki, jauhilah dia dari kejahatan semua makhluk-Mu, janganlah Engkau jadikan dia bergantung harap kepada orang lain selain bergantung harap kepada-Mu wahai Tuhan Yang Maha Bijaksana.. Ampunilah kedua ibu bapanya, dan semua yang hadir wahai Tuhan Penguasa Alam.. 
P/S : bacaan-bacaan ini adalah tajarrub as – Solihin, bukan suatu amalan yang disandarkan kepada sunnah Rasulullah s.a.w.. diamalkan sebagai bertabarruk dengan ayat-ayat suci al-Quran. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan. Cukuplah dengan hanya berdoa.
AKHUKUM USTAZ MOHD HAZRI AL-BINDANY

Sunday, March 13, 2016

Kesan Dark Chocolate atau Coklat Gelap ke atas Penurunan Berat Badan

Jika anda cuba untuk menurunkan berat badan, tidak syak lagi anda telah diberitahu untuk menjauhkan diri daripada coklat. Nah, ia adalah masa untuk memecahkan tabu : Dark Chocolate mempunyai manfaat seperti membantu dengan penurunan berat badan, menstabilkan gula dalam darah, mengawal selera makan dan mengurangkan ketagihan terhadap makanan. Ia juga cenderung untuk meningkatkan mood anda, membendung keinginan anda untuk makan makanan ringan.



Faedah Kesihatan Untuk Keseluruhan Badan

Menurut Weight Watchers, Dark Chocolate yang berkualiti tinggi menyediakan sebahagian manfaat sihat yang sama seperti kebanyakan sayur-sayuran berdaun hijau. Apabila dinikmati dalam kuantiti yang kecil, Dark Chocolate boleh membantu menurunkan tekanan darah anda, meningkatkan peredaran dan mencegah arteriosclerosis, semua aspek yang sangat penting jika anda obes. Flavonoid dalam coklat gelap membantu mengurangkan rintangan insulin dan menghalang pancang dalam tahap darah-gula, ini bagus untuk menghalang daripada tabiat makan berlebihan.


Meningkatkan  kadar Metabolisme

Satu kajian yang dilakukan di Queen Margaret University mendedahkan kejayaan awal bagaimana Dark Chocolate mempengaruhi lemak dan karbohidrat diuraikankan. Dark Chocolate mempunyai kesan yang mengagumkan dalam mensintesis asid lemak, sekali gus mengurangkan kadar penguraian dan penyerapan lemak dan karbohidrat. Akibatnya, orang yang makan coklat mengalami rasa kenyang lebih lama. Pemilihan coklat yang sesuai amat penting. Dark Chocolate yang mengandungi sekurang-kurangnya 70 peratus koko adalah pilihan yang terbaik.



Mengawal Selera Makan

Tiga hormon - insulin, ghrelin dan leptin - mengawal selera makan. Insulin mengawal pemindahan gula dari aliran darah ke sel-sel dalam badan anda. Ghrelin dihasilkan untuk meningkatkan selera makan anda, sedangkan leptin mempunyai kesan yang sebaliknya. Orang yang mempunyai rintangan insulin hilang keupayaan untuk berasa kenyang. Satu kajian yang dilakukan di Belanda menunjukkan bahawa coklat gelap mampu menurunkan rintangan insulin dan menurunkan paras ghrelin. 12 orang wanita mengambil bahagian dalam dua kajian 60 minit. Dalam kajian 60 minit pertama, semua 12 wanita makan campuran 100-gram coklat yang terdiri daripada 85 peratus koko dan 12.5 gram gula. Dalam kajian 60 minit kedua, enam daripada wanita diberikan coklat untuk dihidu, manakala enam yang lain tidak. Wanita-wanita yang sama ada makan atau menghidu coklat menunjukkan pengurangan drastik dalam ghrelin dan selera kenyang. Tiada pengurangan dalam tahap selera makan atau ghrelin dicatatkan bagi kumpulan kawalan.



Meningkatkan Tahap Keselesaan Diri

Polifenol dalam coklat gelap mempunyai kesan yang mendalam kepada kesejahteraan tubuh badan secara keseluruhannya. Apabila anda rasa bahagia, kecenderungan untuk makan berlebihan pada makanan yang memberikan mood bahagia (comfort food) seperti yang lazim berlaku akan dapat diatasi atau dikurangkan. Satu kajian klinikal oleh Swinburne University, Australia, menunjukkan bagaimana polifenol dalam coklat gelap meningkat ketenangan dan rasa kepuasan kepada mereka yang telah mengambil coklat gelap selama 30 hari. Coklat gelap mengandungi anandamide, sejenis lipid yang dikenali sebagai "kimia kebahagiaan." kimia ini tidak kekal lama di dalam badan untuk tempoh yang lama kerana ia mudah terurai. Coklat gelap, bagaimanapun, mengandungi bahan kimia yang menghalang pecahan lipid ini, memberikan anda rasa tenang dan selesa yang berpanjangan.



Sedikit Sudah Mencukupi

Dark Chocolate adalah snek yang lazat, namun begitu, kadar pengambilan yang berlebihan juga tidak digalakkan. Satu auns coklat gelap mengandungi 60 peratus atau lebih daripada koko bersamaan 170 kalori. Untuk mendapatkan sebahagian besar manfaat coklat gelap, amalan makan secara sederhana sudah memadai.


Kandungan Lemak

Coklat gelap mengandungi lemak tepu tetapi tidak semua lemak tepu adalah tidak baik untuk anda, dan lemak yang baik adalah perlu apabila anda cuba untuk menurunkan berat badan. Coklat gelap mengandungi tiga jenis lemak: asid oleik, asid stearik dan asid palmitik. Asid oleik adalah lemak monotaktepu yang merendahkan kolesterol anda. Asid stearik, apabila dimetabolismakan, akan bertukar menjadi Asid Oleik. Kajian menunjukkan Asid Palmitic akan meningkatkan tahap kolesterol. Walau bagaimanapun, apabila digabungkan dengan Asid Oleik dan Stearik, kesan keseluruhan terhadap kolesterol adalah tidak relevan.


Menggalakkan Aktiviti Bersukan

Juzuk anti-radang dalam coklat, digabungkan dengan bekalan  magnesium yang terdapat di dalam coklat mungkin akan mengurangkan rasa sakit yang dialami oleh badan. Apabila badan selesa, aktiviti bersenam akan menjadi menarik dan anda lebih bersemangat.


Sumber: livehealthy.chron.

Saturday, March 12, 2016

Cara Bacaan Hamzah di dalam Al-Quran

Hamzah di dalam Al-Quran terbahagi kepada 2 :

1) Hamzah Qat'ie
2) Hamzah Wasal

HAMZAH QAT'IE

Ialah huruf hamzah yang terletak sama ada di awal kalimah, tengah kalimah, dan akhir kalimah dan ia tetap dibaca ( dibariskan mengikut baris ) sama ada semasa memulakan bacaan atau ketika dibaca sambung. Di dalam Al-Quran Rasm Uthmani, kaedah penulisan hamzah qat'ie berbeza mengikut kedudukannya sama ada di awal, tengah atau akhir kalimah.

Contoh :

أَضآءَت  Al-Baqarah : 17 --------> hamzah di awal kalimah

وَمِنَ الإِبِلِ Al-An'aam : 144 ------> hamzah di tengah kalimah

قُرِئَ Al-A'raaf : 204 --------> hamzah di akhir kalimah

CARA BACAAN HAMZAH QAT'IE

Cara membaca hamzah qat'ie adalah dengan menyebutnya dengan jelas mengikut baris

أَ إِ أُ أً إٍ أٌ       atau dibariskan mati



HAMZAH WASAL ( همزة الوصل )

Hamzah Wasal agak mengelirukan sedikit berbanding Hamzah Qatie. Ia adalah hamzah tambahan yang terletak pada permulaan kalimah dan hanya dibaca ( dibunyikan / dibariskan ) ketika memulakan bacaan dan digugur / dibuang ( hazaf ) sekiranya dibaca sambung dengan kalimah sebelumnya. Di dalam Al-Quran Rasm Uthmani hamzah wasal ditulis bentuk alif dan berkepalakan sod kecil.

Hamzah wasal terdapat pada kalimah yang menunjukkan :

1) Isim ma'rifa ( اسم المعرفة ) = kata nama khas
2) Isim mausul (  اسم الموصول ) = contoh الذي atau التي
3) Fi'il amar (فعل الأمر ) = suruhan / perintah
4) Fi'il dan/atau masdar( فعل atau مصدر ) = kata kerja atau terbitan kata kerja (untuk fi'il madi sahaja )

CARA BACAAN HAMZAH WASAL


1) BARIS ATAS

Hamzah wasal dibaca baris atas ketika mula bacaan jika perkataan merupakan isim ma'rifah ( ال ) atau isim mausul ( الذي atau  التي ). Contohnya :

الرحمن atau الرحيم atau الحمد atau الذي


2) BARIS BAWAH

Hamzah wasal dibaca baris bawah ketika mula bacaan jika perkataan merupakan fi'il dan huruf ketiga berbaris atas atau bawah, dan sekiranya perkaatan merupakan terbitan kata kerja yang lalu. Contohnya

إِرجع atau إِدفع atau اِستكبارا

Penting : 7 kalimah dalam Al-Quran dimana hamzah wasal wajib dibaca dengan baris bawah iaitu اِبن , اِبنة , اِمرأة , اِمروء , اِثنين , اِثنتين , dan اِسم .

3) BARIS DEPAN

Hamzah wasal dibaca baris depan ketika memulakan bacaan jika huruf ketiga dalam kata suruhan/perintah berbaris hadapan. Contohnya

أُنظُر  ---> An-Nisa' : 50

أُدعُوا  ---> Al-A'raaf : 55

اُقتُولوا ---> Yusuf : 9
4) GUGUR / BUANG

Hamzah wasal digugurkan / dibuang ( tidak dibaca ) sekiranya

1) dibaca bersambung dengan perkataan sebelumnya. Sebagai contoh

بسم الله الرحمن الرحيم ( 1 ) الحمد لله رب العالمين   ---> Al-Fatihah : 1-2

Perkataan الحمد jika dibaca sambung akan jadi...Bismillaahirrahmaanirrahiimilhamdulillah.... Tapi sekiranya dibaca tidak sambung akan jadi Alhamdulillah...

2) Hamzah wasal dalam satu kalimah. Contohnya

وبالحاق -----> dibaca Wabilhaaq.....bukan wabi Alhaaq

3) Hamzah wasal berbaris bawah bertamu dengan hamzah istifham ( persoalan ).







Sumber: Halaqah.net

Tundukkan Pandangan Matamu



Seorang suami mengadukan apa yang dia rasakan kepada seorang syeikh
Dia berkata:
Ya syeikh ,
Ketika aku mengagumi calon isteriku ,maka aku merasakan seolah-olah dalam pandanganku Allah tidak menciptakan wanita yang lebih cantik darinya di dunia ini.
Ketika aku sudah meminangnya ,aku melihat banyak wanita seperti dia ,
Ketika aku sudah menikahinya,aku lihat banyak perempuan yang lebih cantik darinya
Ketika sudah beberapa tahun pernikahan ku,aku lihat seluruh wanita yang lebih manis daripada dirinya.

Lalu berkata syeikh:Mahukah engkau,aku beritahu perkara yang lebih dasyat dan lebih pahit daripada itu ?!
Jawab lelaki itu "Ya,mahu"
Berkata syeikh :Sekalipun engkau nikahi seluruh wanita di dunia pasti anjing di jalanan
yang berkeliaran itu lebih cantik pada pandangan engkau dr mereka semua
Lelaki itu terkejut : Kenapa syeikh berkata demikian?

Kerana masalahnya itu bukan terletak pada isterimu,tetapi masalahnya bila manusia diberi hati yang tamak,pandangan yang menyeleweng dan kosong dari rasa malu pada Allahtaala ,maka orang itu tidak ada yang boleh memenuhi pandangan matanya kecuali tanah perkuburan.
Lelaki itu tertunduk.




Sekarang kamu ingin kan sesuatu yang akan mengembalikan kecantikan isterimu sepertimana pertama kali kamu melihatnya? Yangmana ia adalah wanita tercantik di dunia ?
Tanya syeikh tersebut
"Ya ,ingin ya syeikh "
"TUNDUKKANLAH PANDANGAN MATAMU" ujar syeikh mengakhiri bicara

Keajaiban Sedekah



THE POWER OF SEDEQAH

3 minggu lepas, saya menghadiri satu seminar selama 5 hari.
Seminar ini kebanyakannya dihadiri oleh mereka yang diberi kelapangan kewangan oleh Allah. Ini kerana kos seminar itu hampir RM8,000 untuk 5 hari.
Tak ramai yang mampu hadir disebabkan kos yang sangat tinggi.
Bertemu Dengan Ramai Jutawan
Sepanjang 5 hari di sana, saya bertemu dengan ramai jutawan.
Mereka ‘tersangat’ kaya.
Ada yang income mencecah RM500k-RM600k sebulan, baru berusia 40-an.
Ada yang baru berusia 25 tahun, tapi pendapatan bulanan sudah mencecah RM50k sebulan.
Ada yang berusia 35 tahun. Sales tahunan mencecah RM120 juta.
Tak boleh nak cerita semua. Sebab terlalu ramai yang hebat.
Subhanallah. Saya sendiri terkejut dengan kejayaan mereka.
Jangan tunggu kaya baru nak sedekah. Sebab itulah nanti kita tak kaya kaya. Untuk menerima, kita perlu memberi dahulu.
Nasihat Dari Para Jutawan
Semasa salah satu sessi, saya sarapan pagi bersama mereka.
Saya tanya mereka, apa rahsia amalan yang mereka buat untuk berjaya sampai ke tahap itu?
Salah seorang peserta, berusia 25 tahun berpendapatan RM50k sebulan berkongsi dengan saya.
“Bang, saya nak share satu benda aja. Kalau kita nak yang terbaik. Kita kena beri yang terbaik. Nak duit banyak, kena sedekah banyak. Satu benda mudah yang saya nak share dengan abang, sedekah bila masuk masjid. Abang buka beg duit, ambil duit yang paling besar. Then, sedekah kat tabung masjid. Abang buat aje, nanti abang akan rasai perbezaannya. Bila kita beri yang terbaik, Allah pulangkan yang terbaik untuk kita.”
Kemudian, salah seorang CEO syarikat lain menambah.
“Firdaus, kau jangan percaya apa dia ni cakap. Jangan percaya, tapi kau buat aje!!! Ingat, duit yang paling besar dalam wallet ok.”
Kemudian, salah seorang CEO syarikat lain pulak menambah.
“Saya ni dah lama jutawan. Tapi, dulu nak sedekah kat masjid, RM10 pun rasa berat. Kedekutnya saya waktu tu. Tapi, lepas saya belajar. Saya dah tak kedekut. Saya pun sama macam mereka. Saya keluarkan duit yang paling besar ada dalam wallet saya. Saya juga selalu tukar duit kecil, RM1, RM5, RM10, RM20 dan saya selalu bawa bersama saya. Bila saya jumpa orang yang memerlukan, saya akan sedekah ikut keperluan mereka.”
Wowwww…… Ini rupanya rahsia mereka.
Saya Masuk Masjid Dan Teringat Kata Kata Mereka
Hari Khamis yang lepas, saya masuk ke Masjid di Parit Buntar.
Pada waktu tu, saya teringat nak bersedekah kepada masjid. Saya berazam nak sumbanglah RM50 kepada masjid. Sebab saya sangka itulah duit yang paling besar saya ada dalam wallet.
Tiba tiba, bila saya buka beg duit.
Allahuakbar. Macam mana ada duit RM100 pulak dalam wallet saya ni?
Aduh !!!!!
Iman saya mula bergoyang. Nak sumbang RM50 pun dah kira besar. Inikan pula RM100. Fuhhhhh…. Saya berpeluh seketika.
Tapi, disebabkan saya teringat kata kata para jutawan yang menggalakkan saya menderma wang terbesar dalam wallet. Saya pun, dengan rasa ‘berat hati’. Saya keluarkan RM100 dan masukkan dalam tabung masjid.
Saya ingat lagi, masa saya sumbang tu. Saya berdoa kepada Allah.
“Ya Allah, aku berikan yang terbaik untuk Mu. Aku tak tahu macam mana Kau akan gantikan duit ini untukku. Tapi, aku sudah menjalankan tanggung jawabku. Sekarang, aku serahkan pada Mu untuk mengaturkan sesuatu untuk aku.”
Sejujurnya, masa saya keluar masjid. Saya asyik berfikir.
“Hmmm…. macam manalah Allah nak gantik RM100 ni dalam masa segera?” tak nampak jalan yang saya akan dapat duit dari mana mana sumber bisnes yang saya buat.
Tapi, tak per lah. Saya buat kerja saya, selebihnya saya serahkan kepada Allah.
Apa Berlaku Pada Hari Jumaat?
Pagi Jumaat, saya buat kerja seperti biasa. Tiba tiba, saya dapat panggilan telefon daripada abang saya.
“Daus, cepat cepat. Jual saham yang hang beli tu? Sekarang naik mencanak.”
Tanpa membuang masa, saya terus onlinekan telefon saya.
Saya cek saham yang dah 2-3 minggu saya beli, yang asyik turun tak naik naik. Saya pun dah sedikit kecewa dengan saham ni.
Terbeliak biji mata saya tengok harga semasa saham tersebut.
Allahuakbar.
Kalau dihitung mudah, keuntungan sekitar RM4,800.
Subhanallah. Tanpa membuang masa, saya terus jual saham tersebut.
Syukur Alhamdulillah.
Saya benar benar tak sangka, Allah nak beri rezeki kepada saya daripada pintu yang tidak saya sangka.
Memang saya jangka saham yang saya beli tu akan naik. Saya jangka untung dalam RM1,000-RM1,500. Tak lah sampai RM4,800 dalam tempoh 2-3 minggu.
Subhanallah. Saya bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan.
Selepas itu, saya pergi ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat. Sekali lagi, saya buka beg duit saya, saya dermakan wang paling besar yang saya ada.
Kali ini, saya berdoa kepada Allah.
“Ya Allah, aku bersyukur dengan nikmat yang Kau berikan kepadaku. Terima kasih kerana memberi ‘pulangan’ kepada aku dengan begitu pantas. Hari ini, aku berikan sumbangan aku lagi untuk masjid ini. Semoga Kau berikan yang lebih baik buat aku selepas ini.”
Jangan takut untuk bersedekah.
Allah Allah…..
Selama ini, bukan saya tak percaya THE POWER OF SEDEKAH.
Saya tersangat percaya, tapi biasalah. Kita manusia. Kita selalu rasa takut nak MEMBERI. Kita ingat dengan memberi akan mengurangkan apa yang kita ada.
Sebenarnya tak, bila kita memberi. Kita akan menambah apa yang kita sedia ada.
Saya tulis kali ini, semata mata untuk memberi kekuatan kepada saya untuk memberi yang terbaik dalam setiap perkara yang saya lakukan.
Semoga kisah ini juga sedikit sebanyak akan memberi inspirasi kepada anda untuk bersedekah.
Kawan kawan semua…. Jom Bersedekah.
Ingat pesan ini, “Kita kurang berjaya bukan kerana kita kurang menerima, tetapi kerana kita kurang memberi. The more we give, the more we get back. Insya Allah.”
Jika kita tak mampu nak bersedekah dengan wang ringgit, jom bersedekah dengan cara yang paling mudah. Iaitu dengan memberi senyuman.
Kalau ini pun kita tak mampu nak lakukan, hmmm…. Lebih baik kita usah hidup.
Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk lebih banyak memberi selepas ini.

Ilmu berSanad adalah Ilmu Sebenar



"Salah satu cara dalam memperolehi ilmu yang bermanfaat, adalah dengan beradab kepada guru, ulama. Bukan hanya sekadar kerana nasabnya, sanadnya, usianya, kedudukannya dalam masyarakat dan sebagainya. Akan tetapi kerana ilmu yang dianugerahi oleh Allah سبحانه وتعالى kepada guru tersebut."

"Selagi masih ada guru, yakni ulama-ulama yang mempunyai cara pelajaran bersanad daripada para masyaikh kepada guru yang bersandarkan kepada baginda Rasulullah ﷺ. Walaupun mereka tidak punya ijazah seperti Phd, master, degree dan seumpamanya disebabkan ilmu bersanad ini tidak boleh diukur dengan cara tersebut."

"Ilmu itu subur didada dan bukannya diatas kertas." Perlu kita mengubah persepsi disebabkan, antara yang dikhuatirkan baginda Rasulullah ﷺ diakhir zaman; "Yang sangat aku takutkan terhadap kamu wahai umatku. Yang lebih aku risaukan berbandingkan kerisauan aku kepada dajjal dan tiada perkara fitnah terbesar yang amat aku risaukan menimpa umatku adalah orang munafik yang pandai bercakap."

"Dan didalam satu riwayat yg lain yakni 'Ulama Su', Ulama yang su' kata-katanya itu utuh. Akan tetapi ilmu yang disampaikan dan ditanamkan seumpama racun terhadap pelajarnya dengan menyuruh untuk membenci orang lain. Dan memaki orang lain. Malah menyesatkan kepada orang lain."

"Ilmu jenis apakah ini? Ilmu yang mengajak kepada manusia untuk memusuhi orang lain? "Ilmu itu hakikat dalamnya adalah rasa takut kepada Allah سبحانه وتعالى." Dengan rasa takut kepada Allah akan dapat dinilai siapa yg berilmu dan siapa tidak berilmu. Mana ada orang yg dikatakan berilmu, kalau memaki kepada orang lain, menghina orang lain, malah disesatkan lagi."

"Sesungguhnya yang punya rasa takut kepada Allah سبحانه وتعالى, adalah dikalangan para ulama. Para ulama yang benar-benar bertakwa kepada Allah سبحانه وتعالى. Walaupun mereka tidak punya ijazah seperti Phd, master, degree dan seumpamanya disebabkan ilmu bersanad ini tidak boleh diukur dengan cara sedemikian."

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama. Maka perhatikanlah dari siapa kalian mengambil ilmu tersebut. Dan sanad itu adalah sebahagian daripada ilmu. Sekiranya tidak ada, maka manusia akan berkata apa yang hendak dikatakannya, mengikut hawa nafsunya."

Daripada Sayyidil Habib Ali Zaenal Abidin bin Abu Bakar Al-Hamid

Bergurulah Dalam Menuntut Ilmu


Kisah di bawah jadikan iktibar.



Cerita Tumal Hakim dijadikan pengajaran oleh alim-ulama terhadap orang yang mengambil ilmu tidak dari berguru tapi dengan hanya membaca dari kitab ini dan itu. Suatu hari dia ditimpa sakit mata,dia membaca kitab lalu terjumpa sebuah hadis yang berbunyi:
عليكم بالحبة السوداء فإنها شفاء من كل داء إلا السام وهو الموت
Hendaklah kamu makan Habbatus Sauda’ kerana sesungguhnya ia adalah penawar dari segala penyakit kecuali mati”.
Namun hadis ini tidak dibaca oleh Tumal Hakim dengan betul;
Dia membaca Hayyatul Sauda’ yang bererti ular hitam sedangkan lafaz yang benar adalah Habbatul Sauda’ . Salahnya hanya keliru pada huruf Ba’ yang bertitik satu dibaca Ya’ yang bertitik dua.
Maka keluarlah dia ke Sahara mencari ular hitam. Setelah ditangkap, dicincang halus-halus lalu dicelak kedua matanya dengan lumatan ular hitam yang disangkanya penawar oleh hadis yang salah dibacanya tadi.Akhirnya butalah mata Tumal Hakim.
Demikianlah kisahnya menjadi misalan bagi orang yang membaca kitab dan buku tanpa berguru kepada syeikh dan cikgu- nescaya akan sesatlah dia lebih dari si Tumal Hakim.
Mengenai orang-orang yang suka mengambil ilmu dari buku dan kitab semata dan tidak pergi berguru kepada Para Rijal tokohnya - telah disindir oleh Al-Imam Al-Auza’ie rahimahullah yang merupakan guru kepada Al-Imam As-Syafie rahimahullah dengan katanya:
من تعلم الفقه من الكتب غير الأحكام
ومن تعلم النحو من الكتب حن في الكلام
ومن تعلم التوحيد من الكتب مرق من الاسلام
ومن تعلم الطب من الكتب قتل الأنام

” Barangsiapa belajar Feqah dari kitab nescaya mengubah hukum dan hakam.
Barangsiapa belajar Nahu dari kitab nescaya tunggang langganglah bahasa kalam.
Barangsiapa belajar Tauhid dari kitab meluncurlah dia keluar Islam.
Barangsiapa belajar Perubatan dari kitab nescaya membunuh manusia siang dan malam”.

Orang yang mempelajari feqah dari kitab dan buku kesudahannya akan mengubah hukum hakam; yang haram jadi halal dan yang halal jadi haram. Kerana inilah segala kaedah perundangan Feqah itu mesti dimengajikan ia dari Para ahlinya yang alim ulama.

Thursday, March 3, 2016

Syarat-syarat Layak, Sah Solat Jamak dan Qasar


Allah SWT memberi dua kemudahan kepada orang yang bermusafir untuk melaksanakan solat iaitu JAMAK dan QASAR.

Untuk seseorang itu mendapat kelayakan rukhsah(keringanan) solat musafir(jamak dan qasar) mestilah menepati beberapa syarat. Berikut adalah syarat-syarat yang dimaksudkan:

Pertama: Mestilah berada di dalam keadaan bermusafir iaitu perjalanan ke destinasi sekurang-kurangnya dua marhalah.

Kedua: Perjalanannya telah melepasi pagar qaryah(boleh diterjemahkan sebagai kawasan kampung, taman perumahan, mukim atau daerah mengikut uruf setempat).

Ketiga: Tidak mengikuti imam solat yang bermukim jika ingin mengqasarkan solat.

Keempat: Tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar dari destinasi.(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’ie, Jilid 1, Bab Solat Musafir)

HUKUM YANG DISALAH ERTI

 Syarat ke-4 merupakan perkara yang PALING DISALAH ERTIKAN oleh ramai orang. Sehingga mereka menyangka jika sudah merancang untuk menetap di sesuatu tempat (contohnya) 2 minggu, maka menyangka masih boleh menjamak dan mengqasarkan solat dalam tempoh tiga hari. Sedang ia adalah sangkaan yang salah dan tidak bertepatan dengan apa yang termaktub di dalam kitab-kitab Fiqh Mazhab Syafi’ie.Jika seseorang yang menetap (contohnya) di Shah Alam merancang untuk berada (contohnya) di Kota Bahru selama 7 hari. Maka dia hanya dibenarkan untuk menjamak dan qasar ketika dalam perjalanan sahaja dan setibanya di destinasi dia sudah menjadi orang yang bermukim.

MENGAPA TIDAK BOLEH LAGI JAMAK DAN QASAR? 

Ini kerana apabila seseorang itu berazam untuk menetap (contohnya) di Kota Bahru lebih dari 3 hari, ini bermakna ia telah berniat bermukim di destinasi itu. Apabila dia sampai ke destinasi tersebut maka dia sudah mendapat status orang yang bermukim bukan lagi musafir. Sedangkan rukhsah(keringanan) solat musafir hanya diizinkan oleh Allah Ta’ala bagi orang yang berstatus musafir, sepertimana Allah berfirman di dalam surah al-Nisa’, ayat 101:وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة} النساء: 101} Maksudnya: “Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”Permasalahan ini telah dijelaskan oleh Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam karangannya ‘Mihaj al-Tolibin’, menurut beliau:ولو نوى إقامة أربعة أيام بموضع انقطع سفره بوصوله، ولا يحسب منها يوما دخوله وخروجه على الصحيح Maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim(iqamah) selama 4 hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”Menurut kenyataan Imam Nawawi di atas, tempoh seseorang itu mendapat status mukim ialah 4 hari, jika seseorang itu berazam atau berniat untuk menetap (contohnya) Kota Bahru selama 3 hari atau kurang dari itu, maka dia masih boleh melakukan solat musafir(jamak & qasar) selama tempoh itu walaupun sudah sampai atau berada di destinasi. Ini kerana dia masih dalam keadaan musafir .

APAKAH MAKSUD ‘TIDAK TERMASUK HARI KELUAR DAN MASUK’?

Menurut mazhab Syafi’ie, tempoh untuk menentukan seseorang itu berstatus mukim ialah menetap di sesuatu tempat selama 4 hari atau lebih, tetapi tidak dikira hari perlajanan ke destinasi dan hari pulang. Sebagai contoh:Ahmad akan bercuti di Kota Bahru selama 7 hari iaitu dari hari Isnin hingga Ahad. Menurut perancangan, Ahmad akan bertolak dari Shah Alam pada hari Isnin dan akan bertolak pulang dari Kota Bahru pada hari Ahad. Jadi tempoh sebenar Ahmad berada di Kota Bahru ialah 5 hari setelah tolak hari pergi dan pulang. Menurut kiraan tersebut, Ahmad secara otomatik telah berniat bermukim di Kota Bahru iaitu lebih dari 3 hari. Dengan ini, setiba Ahmad di Kota Bahru beliau tidak boleh lagi solat musafir.

APAKAH DALIL MAZHAB SYAFI’IE TENTANG TEMPOH MUKIM BERDASARKAN 4 HARI?

Ia berdalilkan sepotong riwayat yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam Bukhari dan Muslim(dengan lafaz Imam Muslim):عن الْعَلَاءَ بْنَ الْحَضْرَمِيِّ، يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لِلْمُهَاجِرِ إِقَامَةُ ثَلَاثٍ بَعْدَ الصَّدَرِ بِمَكَّةَ»، «كَأَنَّهُ يَقُولُ لَا يَزِيدُ عَلَيْهَا»
Maksudnya: Saidina al-‘Ala bin al-Hadrami Radiyallahu ‘anhu berkata, ‘aku mendengar Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda’, “Mukim bagi Muhajir selama 3 hari di Mekah selepas kembali dari Mina”, 'Seolah-olah Baginda menyatakan tidak lebih dari tempoh itu'. Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqallani di dalam Fathul Bari, Hadith ini memberi maksud bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang golongan Muhajirin –Radiyallahu ‘anhum- bermukim di Mekah sebelum pembukaan kota tersebut. Menurut Imam Nawawi pula(juga dalam Fathul Bari), hadith ini menjelaskan bahawa Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam mengharamkan golongan Muhajirin bermastautin di Mekah.Menurut Imam Ibn Hajar lagi:ويستنبط من ذلك أن إقامة ثلاثة أيام لا تخرج صاحبها عن حكم المسافر Maksudnya: Pengajaran yang boleh diambil dari itu(hadith), sesungguhnya menetap selama tiga hari tidak mengeluarkan seorang itu dari hukum musafir. Berdasarkan hadith sahih di atas dan penjelasan dari kedua-dua imam menunjukkan bahawa tempoh menetap yang melebihi dari tiga hari(iaitu 4 hari dan ke atas) adalah tempoh yang tidak melayakkan seseorang menjadi seorang musafir. Hadith dikuatkan lagi dengan tindakan Saidina Umar al-Khattab Radiyallahu ‘anhu yang tidak membenarkan golongan kuffar ahli zimmah menetap di bumi Hijaz dan beliau membenarkan para peniaga dari kalangan ahli Zimmah menetap selama tiga hari sahaja.(Rujuk: al-Talhis al-Habir)Selain itu sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta’ (Riwayat Muhammad bin al-Hasan) bahawa Saidina Umar membenarkan golongan Yahudi dan Nasrani berada di Madinah selama tiga hari untuk mendapatkan keperluan mereka dan tidak boleh seorang di antara mereka menetap lebih dari tempoh tersebut. (Rujuk: Ifadah al-Raghibin)Tindakan Saidina umar menunjukkan bahawa beliau tidak mahu golongan kuffar bermukim dan menetap di Tanah Haram, lalu beliau hanya membenar golongan ini dalam keadaan musafir sahaja.Ini lah dalil yang menjadi asas Imam al-Syafi’ie Radiyallahu ‘anhu dalam menentukan tempoh permukiman.

BAGAIMANA PULA RIWAYAT NABI PERNAH MENGQASARKAN SOLAT LEBIH DARI 3 HARI? 

Terdapat riwayat sahih yang menunjukkan baginda pernah mengqasarkan solat ketika musafir lebih dari 3 hari. Ini seolah-olah pada zahirnya, mazhab Syafi’ie bertentangan dengan Sunnah. Riwayat yang dimaksudkan ialah:عن عمران بن حصين رضي الله عنه قال: "غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وشهدت معه الفتح، فأقام بمكة ثماني عشر ليلة، لا يصلي إلاّ ركعتين". رواه أبو داود Maksudnya: Saidina Imran bin Husain Radiyallahu ‘anhu berkata, “Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan aku menyertai Baginda ketika pembukaan kota Mekah, lalu Baginda menetap di Mekah selama 18 hari dan Baginda tidak mengerjakan solat melainkan dua rakaat(qasar)”. (Hadith riwayat Imam Abu Daud).

Pendirian mazhab Syafi’ie mengenai hadith ini, apabila seseorang berniat tinggal di sesuatu tempat yang TIDAK PASTI TEMPOH MENETAP di sesuatu tempat kerana MELAKUKAN TUGAS YANG BELUM TENTU TAHU BILA SELESAINYA, maka dia boleh mengqasarkan solat sehingga 18 hari tidak termasuk hari pergi dan pulang. Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah menetap selama tempoh tersebut pada tahun pembukaan kota Mekah kerana memerangi puak Hawazin dan Baginda mengqasarkan solatnya kerana Baginda tidak pasti berapa lama Baginda terpaksa tinggal di situ. (Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji atau Ifadah al-Raghibin)

Isu ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam ‘Minhaj al-Tolibin’">ولو أقام ببلد بنية أن يرحل إذا حصلت حاجة يتوقعها كل وقت قصر ثمانية عشر يوما, وقيل: أربعة، وفي قول: أبدا. Maksudnya: “Jika seseorang menetap di sebuah negeri dengan niat bahawa dia akan meninggalkan (negeri itu) jika tercapai hajatnya(selesai sesuatu urusan) seperti yang dijangkakan, maka dia boleh qasar setiap waktu selama 18 hari. Ada pendapat lain selama 4 hari, juga terdapat qaul menyatakan selama-lamanya.”Walaubagaimana pun, pendapat yang muktamad di sisi Mazhab Syafi’ie ialah tidak lebih dari 18 hari iaitu tidak termasuk hari pergi dan pulang. Abu Ruqayyah Ba 'Alawi

Wednesday, March 2, 2016

Hal yang Berkaitan dengan Qiyammullail



1) Panduan solat Tahajjud - Solat sunat paling utama di sisi Islam > http://goo.gl/UBbEP
2) Indahnya Berkah Solat Tahajjud > http://goo.gl/7bZX4
3) Keajaiban Solat Tahajjud > http://goo.gl/uySLU
4) 13 Petua Untuk Mudah Qiyamullail > http://goo.gl/qq8nf
5) Panduan & Keutamaan Solat Tahajjud > http://goo.gl/UjMAB
6) Rahsia Qiyamullail dan Tahajjud > http://goo.gl/001Si
7) Tahajjud Prayer: Description & Merits > http://goo.gl/6qtRU

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran