Beliau merupakan seorang wanita yang cantik dan memiliki sifat keibuan. Dirinya dihiasi dengan kebijaksanaan, ketabahan, kefasihan berkata-kata dan berakhlak mulia.
Pada mulanya, ummu sulaim berkahwin dengan Malik bin Nadlar dan mendapat seorang cahayamata yang diberi nama Anas. Apabila agama Islam datang ke Madinah, Ummu sulaim telah memeluk agama Islam bersama kaumnya.
Beliau telah mengajak suaminya untuk sama-sama memeluk agama Islam namun suaminya enggan.
Bukan sahaja menolak marah memarahi ummu sulaim. “Apakah engkau sudah membelakangkan agama datuk nenek selama ini?”
Kemudian Ummu sulaim menjawab dengan penuh keyakinan, “Sesungguhnya aku telah menyerahkan wajahku kepada Allah, Tuhan semesta alam ini.” Kemudian beliau mengajarkan anaknya, Anas untuk mengucap syahadah.
Malik menjadi bertambah marah dan berkata, “kau sudah rosakkan kepercayaan anakku!”
Ummu sulaim segera menjawab dengan tegas, “ saya tidak merosakkan kepercayaannya tetapi saya memimpinnya ke jalan yang lurus agar dia membesar dengan mendapat hidayah.”
Akibat terlalu marah, Malik bin Nadlar telah meninggalkan negerinya dan berhijrah ke Syam.
PERKAHWINAN KEDUA UMMU SULAIM :
Tidak lama selepas itu, beliau mendapat khabar yang suaminya Malik telah meninggal dunia di Syam. Abu talhah al-Ansari telah datang membawa rombongan meminang tetapi Ummu sulaim segera menolak lamaran tersebut.
“wahai Abu Talhah, bagaimana aku boleh menjadi isterimu sedangkan kau masih menyembah batu dan tunduk kepada pokok yang tidak memberi manfaat kepadamu. Kau sanggup menyembah kayu yang boleh membakar sehingga menjadi abu dan kemudian boleh ditiup angin. Dimana akalmu?” ujar Ummu sulaim.
Setelah pulang, Abu Talhah memikirkan semula kata-kata Ummu sulaim dan menyedari perkara yang dikatakan Ummu sulaim adalah benar. Abu Talhah datang semula kepada Ummu sulaim dan menyatakan keislamannya.
Ummu sulaim berasa gembira dan menerima pinangan Abu Talhah tanpa sebarang mas kahwin.
Ummu sulaim telah dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Abdullah, hasil perkahwinan beliau bersama Abu Talhah. Rasulullah saw telah memberkatinya dan baginda sering berkunjung menziarahi Ummu sulaim di rumahnya.
Baginda pernah berkata, “aku kasihankan Ummu sulaim, ayah dan saudaranya telah terbunuh di hadapan mataku dalam medan perang.”
KEBERANIAN UMMU SULAIM :
Ummu sulaim seorang yang sangat berani, beliau pernah keluar ke medan perang bersama-sama Rasulullah dan pernah menyaksikan pertempuran di Badar dan Uhud.
Ummu sulaim ditugaskan untuk memberi minum dan membalut luka kaum muslimin. Pada perang Hunain, beliau telah keluar membawa pisau sabit. Maka berkata Abu Talhah, “wahai Rasulullah, ini Ummu sulaim telah membawa pisau sabit.”
Rasulullah bertanya tentang pisau tersebut kepada Ummu sulaim dan beliau menjawab, “wahai Rasulullah, aku membawa pisau ini untuk mempertahankan diriku. Jika orang musyrik mendekatiku maka akanku coretkan pisau ini ke perutnya. Dengannya aku boleh membunuh sesiapa yang lari dari medan perang dan aku juga boleh membunuh sesiapa yang ingin membunuhmu.”
KETAQWAAN KEPADA ALLAH :
Anak ummu sulaim bersama Abu Talhah telah sakit tenat sehingga menyebabkan anaknya meninggal dunia namun ketika itu, suaminya Abu Talhah tiada disisinya. Ummu sulaim telah memandikan dan menguruskan jenazah anaknya kemudian jenazah anaknya diletakkan di atas katil seperti orang sedang tidur.
Walaupun dalam keadaan berduka, beliau sempat berpesan kepada ahli keluarganya agar tidak memberitahu kepada Abu Talhah sehinggalah Ummu sulaim sendiri yang akan memberitahunya.
Pada malam itu sekembalinya Abu Talhah ke rumah, Ummu sulaim menyambutnya dengan senyuman mesra seperti biasa. Abu Talhah bertanya khabar anaknya, Ummu sulaim memberitahu anaknya kini telah lebih tenteram dan tenang.
Abu Talhah berasa gembira dengan berita yang disampaikan isterinya. Ketika mereka berdua duduk berehat, tiba-tiba Ummu sulaim bertanya kepada suaminya. “Apa pendapatmu jika kita meminjam sesuatu daripada jiran tetangga, patutkah kita memulangkannya?”
“Tentu sekali, tiap pinjaman mestilah dikembalikan kepada tuannya,” jawab suaminya, Abu Talhah. Ummu sulaim berkata lagi, “begitu juga dengan anak kita, wahai Abu Talhah. Dia adalah pinjaman kepada kita, maka tuannya telah mengambil kembali milikNya, iaitu Allah swt.”
Mendengar itu, Abu Talhah mendapat tahu yang anaknya telah meninggal dunia. Maka, beliau telah menyerahkan segalanya kepada Allah. Abu Talhah telah berjumpa dengan Rasulullah lalu menceritakan peristiwa itu kepada baginda. Maka baginda Rasulullah s.a.w mendoakan kesejahteraan suami isteri tersebut.
Begitulah ketaqwaan seorang wanita agung yang memiliki kedudukan tinggi di sisi Rasulullah s.a.w. Baginda pernah membawa berita khabar gembira bahawa Ummu sulaim tergolong dalam ahli jannah.
Baginda bersabda : “aku masuk syurga lalu aku mendengar suara, maka aku bertanya “siapa itu?” mereka menjawab, dialah Ummu Sulaim binti Marham, ibu kepada Anas bin Malik.”
No comments:
Post a Comment