Carian Artikel di sini

Tuesday, August 14, 2012

ZIKIR YANG RINGAN DI LIDAH TETAPI BERAT TIMBANGANNYA DI MIZAN




Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Dua kalimah yang ringan di lidah,
berat di atas neraca timbangan dan disukai oleh Tuhan Yang Maha Pengasih ialah: SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim“
(Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)

Maknanya:
1.SubhanAllahi wa bihamdih = Maha Suci ALLAH dan Segala Pujian BagiNYA
2.SubhanAllahil-`Azim = Maha Suci ALLAH Yang Maha Agung

Muslimin muslimat sekalian,
Ambillah peluang setiap masa yang terluang untuk kita mengingati ALLAH. Di dalam hadith di atas, Nabi S.A.W. telah menyatakan akan kelebihan kalimah zikir ‘SubhanAllahi wa bihamdih, SubhanAllahil-`Azim’ yang tidak sepatutnya kita abaikan.


Kalimah ini sangat mudah untuk disebut, tetapi subhanALLAH ganjaran pahalanya besar, malah disukai oleh ALLAH Ar-Rahman.
Justeru, janganlah kita membiarkan masa yang berlalu tanpa kita mengamalkannya. Samada sedang berjalan, sedang menunggu, sedang berehat, sedang memandu atau mana-mana ketika pun, janganlah kita biarkan masa berlalu pergi tanpa diisi dengan dzikrullah. Apatah lagi seperti kalimah zikir di atas. Mudah, tapi besar ganjarannya.



Dalam Riwayat Sahih Muslim


"Subhaanallahi wabihamdihi, 'adada khalqihi, wa ridhaa nafsihi, wadzinata 'arsyihi, wa midaada kalimaatihi"

Maha Suci Allah, aku memuji-Nya sebanyak makhluk-Nya, sejauh keredaan-Nya, seberat timbangan 'Arasy-Nya dan sebanyak tinta tulisan kalimat-Nya.

Dari Juwairiyah binti Al Harits isteri Nabi SAW r.a., katanya Nabi SAW keluar dari rumahnya pagi-pagi setelah selesai solat Subuh, dan Juwairiyah masih berada di tempatnya solat. Setelah waktu Dhuha Rasulullah SAW pulang sedangkan Juwairiyah masih duduk di tempatnya semula. Rasulullah bertanya kepadanya, “Apakah engkau sentiasa duduk (berzikir) seperti itu sejak kutinggalkan tadi?” Jawab Juwairiyah, “Betul, ya Rasulullah!” Sabda Nabi SAW, “Aku hanya mengucapkan empat kalimat sebanyak tiga kali semenjak itu, yang kalau ditimbang dengan apa yang kau baca dalam zikirmu sejak tadi, nescaya sama berat. Kalimat itu ialah: ‘Subhanallahi wa bihamdihi 'adada khalqihi, wa ridha nafsihi, wa zinata arsyihi wa midadi kalimaatihi.’” (Sahih Muslim Bab - Zikir, Doa, Taubat , Istighfar No Hadis – 2348)


Semoga kita semua dapat mengamalkannya, insyaALLAH.

Saturday, August 11, 2012

Cara menjawab kiriman salam dengan betul



Sumber dijumpai dari group PPKP Al- Bukhari. Terima kasih sebab kongsikan benda ni..

Hamba Allah 1: Weyy Mat, Hamba Allah 3 kirim salam kat kau.
Hamba Allah 2: Oh yeke? Wa' alaikumsalam.

Nampak macam takde masalahkan? Eh, ada masalah ke kalau kita jawab salam macam tu? Haa, memang ada masalah. Sebab tu aku beria- ia nak kongsikan benda ni dengan korang. Sebenarnya, jelas di dalam hadis nabi saw, nabi mengajarkan apabila salam itu disampaikan melalui posmen (org tengah) maka jawapan yg diberi kepada kiriman salam tu bukannya, 'waalaikumussalam' tapi.....
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
V
" wa'alaika wa'alaihissalam "

Sebab apa? Haa, ce tengok balik dialog ni eh? Hamba Allah 3 menyuruh Hamba Allah 1 utk kirim salam kepada Hamba Allah 2. Hamba Allah 2 menjawab " wa'alaikumussalam ". Sedangkan..

Wa'alaikumussalam bermaksud selamat sejahtera ke atas KAMU

Jadi salam Hamba Allah 2 kepada Hamba Allah 3 tadi tak terjawabkan? Sebab dia menjawab salam tu kepada Hamba Allah 1 padahal Hamba Allah 1 tu hanya orang tengah je. Manakala..

Wa'alaika wa'alaihissalam bermaksud dan juga kepada KAMU dan juga kepada DIA selamat sejahtera

Nampak tak perbezaan di antara dua cara menjawab salam di atas? Apabila dia mengucapkan Wa'alaika Wa'alaihissalam, barulah salam Hamba Allah 3 tadi akan terjawab. Hukum memberi salam itu sunat,tapi menjawab itu wajib. Jadi kalau salah jawab,bermakna masih belum jawab lah kan? Itu aje yg aku nak kongsikan dengan korang utk hari ni. Moga dapat di kongsikan dengan rakan yg lain. Sekian, assalamualaikum.

P/s: Saya cuma kongsikan aje info ni. Kepada yg lebih arif, harap boleh membantu.

Friday, August 10, 2012

Dosa Banyak Selawat Pun Banyak




Nabi s.a.w bersabda: “Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah oarang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Ibn Mas’ud r.a)

Ibnu Al-Mulqan juga menyebut di dalam kitab “Al-Hadaiq” bahawa terdapat seorang pemuda yang sedang melakukan tawaf di Baitullah. Beliau hanya sibuk membaca selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

Apabila ditanya adakah sesuatu yang menyebabkan ia asyik berselawat sahaja.

Pemuda itu menjawab, “Ya, ketika aku bersama ayahku keluar mengerjakan fardu Haji tiba-tiba ayahku jatuh sakit di sebuah rumah. Ayahku meninggal dunia dalam keadaan mukanya berubah menjadi hitam, kedua matanya berubah menjadi biru dan perutnya membuncit tinggi.”

Melihat keadaannya begitu aku menangis kesedihan dan berkata : “Dan sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepadaNyalah kita kembali. Ayahku meninggal dunia dalam keadaannya yang pelik.”

Apabila malam menjelma. aku merasa mengantuk dan aku (bermimpi) melihat Rasulullah s.a.w dengan pakaian serba putih dan berbau semerbak harum mewangi. Baginda menghampiri ayahku dan menyapu mukanya. Dengan serta merta aku lihat muka ayahku berubah menjadi terlalu putih melebihi putih susu!. Kemudiannya baginda menyapu pula perut ayahku yang membuncit itu lalu ia kembali seperti sediakala.

Apabila hendak beredar baginda berkata: “(Sesungguhnya ayahmu ialah seorang yang banyak melakukan maksiat dan dosa. Dia juga banyak berselawat ke atasku. Apabila berlaku perkara yang telah berlaku kepadanya itu, dia telah meminta bantuanku maka aku datang membantunya. Dan aku adalah pembantu kepada orang-orang yang banyak berselawat ke atasku semasa hidup di dunia).”

Allahumma Salli Ala Sayyidina Muhammad wa’ala ali sayyidina Muhammad….

Kelebihan Berselawat Ke Atas Nabi Muhammad s.a.w

Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani Al-Hasani menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan. Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’:

1. Melaksanakan perintah Allah.

2. Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.

3. Bersamaan dengan selawat para malaikat.

4. Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).

5. Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.

6. Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.

7. Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.

8. Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.

9. Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.

10. Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.

11. Allah akan menutupi segala dukacita.

12. Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.

13. Mendapat darjat al-Sidq.

14. Ditunaikan segala hajat.

15. Salam sejahtera pada hari kiamat.

16. Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.

17. Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.

18. Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.

19. Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.

20. Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.

21. Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.

22. Tidak akan merasai fakir.

23. Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.

24. Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.

25. Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.

26. Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.

27. Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.

28. Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.

29. Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.

30. Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.

31. Mendapat keberkatan daripada Allah.

32. Mendapat kesempurnaan iman.

33. Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.

34. Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.

35. Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.

36. Teguh pendirian dengan kebenaran.

37. Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Di samping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.

38. Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.

39. Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.

40. Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.

41. Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.

42. Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah Al-Ahzaab 33:56)

Friday, August 3, 2012

Wujudnya Allah ~ Kisah Si Tukang Gunting Rambut




Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Antara pengajaran penting:

Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. ALLAH tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun.
Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH. Kerana padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh. “Aslim, taslam”. Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat.
Peringatan:


Ini hanyalah perumpamaan untuk dibuka fikiran sahaja. Kisah sebegini baik untuk disampaikan untuk mengajak manusia berfikir dan merenung. Namun, perumpamaan ini tidaklah tepat dengan ALLAH. Kerana ALLAH itu adalah Tuhan yang tiada suatu pun yang sama denganNYA.
Semoga ada manfaat padanya, insyaALLAH.

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran