Carian Artikel di sini

Tuesday, November 17, 2009

Si Janda yang kuat Tawakalnya

Di sebuah ladang, seorang peladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun pada kebiasaannya hasil ladangnya akan dibahagi tiga. Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk sedekah sementara sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.


Di sebabkan kemarau, hasil ladangnya terjejas teruk. Sukatan yang biasa di gunakan mengalami masaalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk sedekah dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun , dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika di ambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah di janjikan. Masaalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas pergi meminta nasihat dari ulama’ sufi.


Ulama’ sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang : “Di hujung kampung ada seorang janda dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan kepada mereka.”


Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama’ sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah janda miskin yang di maksudkan dengan membawa sedikit gandum untuk disedekahkan.


Janda : “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”
Tuan ladang : “Saya datang membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”
Janda : “Anak-anak saya semua sudah tidur.”
Tuan ladang : “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”
Janda :” Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok.?”
Tuan ladang : “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”
Janda : “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain.


Setiap patah kata-kata janda beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, janda tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain. Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari janda miskin itu di kalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.


Pertemuan dengan janda tersebut mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala sepertiga untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah.Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.


Tawakal sangat besar faedah dan rahsianya - carilah dan renung-renunglah, semoga Allah menganugerahkan kepada anda dapat sampai kepada darjat tawakal orang-orang yang abrar dan muqarrabin. Beruntung dan sangat-sangat beruntunglah ibu bapa yang mendapat anak-anak yang sedemikian. Tidak akan mendapat darjat tersebut melainkan orang telah mencapai darjat mengenal diri dan mengenal Allah yang sempurna. Permulaan agama adalah marifat kepada Allah.



Abrar = Orang yang banyak berbuat ibadat dan taat kepada Allah
Muqarrabin = Orang yang dekat dengan Allah s.w.t

1 comment:

Schanizan said...

Aduh... Sungguh menusuk kalbu.
Alangkah rendahnya tahap iman kita ni...

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran