Carian Artikel di sini

Friday, November 20, 2009

Solat Taubat Penjernihan Jiwa

Sumber rujukan: Solat Taubat (Panduan Penjernihan Jiwa)
Muhammad Isa Selamat

ALLAH swt sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)

Allah telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: “Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

Syarat-syarat taubat :

  1. Ikhlas ingin bertaubat
  2. Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi
  3. Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan
  4. Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya
  5. Dikerjakan sebelum ajal tiba

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon keredhaannya.

Waktu melaksanakan taubat :

Taubat tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.

Di antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan kebanyakan manusia. Mati beerti berpisah dengan segala yang disayangi atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya

Firman Allah: “Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)

Di samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.

Cara melaksanakan solat taubat :

Cara melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap kiblat;

  • Waktu di lakukan – bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2 pagi ke atas), semasa Qiyamullail
  • Lafaz niat: “Sahaja aku mengerjakan solat sunat taubat dua rakaat kerana Allah Ta’ala.” (Cukup di dalam hati, ada perbahasan ulama’ tentang lafaz niat dlm ibadah – sila rujuk kpd pakar feqah)
  • Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran.
  • Semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
  • 027alquran3.gif

    Ertinya: “Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”

  • Selepas salam, perbanyakkan istighfar seperti,

munajat1.jpg

Ertinya: Ampunilah hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba bertaubat kepada Engkau ya Allah.

  • dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,

penghulu.jpg

Ertinya: “Ya, Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan. Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”

  • Kemudian boleh juga berdoa mengikut luahan hati dan munajat masing-masing ke hadhrat Allah.


*****************************************************************************************

*Makruh tahrim – Petikan dari “170 Solat-Solat Sunat”, Abd Rahman Mukhlis, Terbitan Jasmin Enterprise, ms 8-9 ;

Fuqaha Syafi’iyah berpendapat bahawa makruh tahrim hukumnya melaksanakan sembahyang sunat tanpa sebab, dan sembahyang itu dipandang tidak sah jika dilakukan dalam lima waktu berikut:

  1. Selepas sembahyang Subuh yang dilaksanakan secara tunai (bukan sembahyang qadha’), hingga matahari menyingsing sepenggalah.

  2. Ketika matahari terbit hingga menyingsing seperti galah.

  3. Selepas melakukan sembahyang Asar yang dilaksanakan secara tunai sekalipun ia dijamak dengan Zuhur pada waktu Zuhur (jamak taqdim).

  4. Ketika matahari berwarna kuning, hingga terbenam seluruhnya.

  5. Ketika matahari benar-benar berada di atas kepala (di tengah-tengah langit) hingga gelincir ke Barat. Kecuali waktu Istiwa’ (matahari berada di tengah-tengah langit pada hari Jumaat.

Bagaimanapun, jika sembahyang yang dilakukan itu ada sebab yang mendahuluinya seperti sembahyang Tahiyyatul Masjid, walaupun khatib sudah berada di atas mimbar, sembahyang Sunat Wuduk dan sembahyang Sunat Tawaf sebanyak dua rakaat.

Begitu juga sembahyang yang mempunyai waktu terkait (muqayyad), seperti sembahyang Istisqa’ dan sembahyang Gerhana Matahari. Maka hukumnya adalah sah tanpa dimakruhkan, sebab ia terkait dengan turunnya hujan dan terhalangnya cahaya matahari.

Adapun melaksanakan sembahyang sunat ketika bilal qamat adalah makruh tanzih, kecuali ketika qamat sembahyang Jumaat. Sembahyang sunat yang dilakukan ketika bilal sudah qamat pada sembahyang Jumaat adalah haram hukumnya.

Thursday, November 19, 2009

Kenapa Wanita Perlu Menutup Aurat



Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka berjilbab (bertudung dan berpakaian labuh) menutupi tubuh mereka." Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, karena itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (33:21)

Berdasarkan ayat di atas, ALLAH telah jelas menyatakan perihal mengapa wanita wajib berjilbab (bertudung dan berpakaian labuh yang menutupi tubuh mereka dengan sempurna).
Berikut beberapa hikmah menutup aurat (bagi wanita) berdasarkan ayat di atas secara ringkas:

1. Sebagai lambang bahawa mereka adalah wanita yang beriman dan bertaqwa. Wanita yang sentiasa beriman dan taat, pasti akan sentiasa mengikuti apa sahaja yang diperintahkan oleh ALLAH dan Rasul-NYA dan meninggalkan sebarang perkara yang dilarang di dalam agamanya (Islam). Berbeza dengan mereka yang tidak beriman (tanpa mengira lelaki mahupun wanita), mereka amat engkar dengan perintah ALLAH dan Rasulullah.

Pendek kata, ada sahaja alasannya untuk menolak ketetapan ALLAH. Maka, renungilah ayat berikut:
“Orang-orang munafik laki-laki dan perempuan sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat yang mungkar dan melarang berbuat yang ma'ruf dan mereka menggenggamkan tangannya (kikir). Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik” (09:67)

2. Berupaya mengelakkan gangguan daripada golongan yang berhati jahat. “kerana itu mereka tidak di ganggu”. Bagi point yang kedua ini, saya ingin membawakan satu perumpamaan. Andainya kita seorang lelaki dihidangkan dengan satu “show” yang menayangkan wanita dengan keadaan yang amat menghairahkan (seksi), sudah tentu nafsu syahwat si lelaki akan terangsang sekaligus mencetuskan satu niat yang jahat untuk “mendapatkan” wanita yang dilihatnya itu atau pun wanita lain yang seumpamanya bagi tujuan nafsunya.

Tapi, berbeza pula jika kita sebagai lelaki diperlihatkan dengan wanita-wanita solehah yang sentiasa menjaga adabnya sebagai seorang muslimah yang mana lengkap berjilbab. Pasti sejuk mata memandang lalu mampu mendetikkan rasa keinsafan (malu) dalam diri si lelaki. Begitulah hakikatnya peranan jilbab mampu mencegah hati-hati manusia yang berniat jahat.
Dalam ayat yang lain, ALLAH menyatakan perihal yang sama tetapi memfokus kepada suara wanita, “Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan (menghairahkan) orang yang ada perasaan dalam hatinya (berhati jahat).” (33:32)

3. Membezakan sama-ada wanita itu muslim atau non-muslim. “supaya mereka lebih mudah untuk dikenal” Sebagai seorang wanita muslim, sewajibnya mereka menutup aurat dan bertudung. Yang dengan itu, sekaligus membezakan mereka dengan gaya orang yang bukan muslim. Dan berdasarkan Tafseer Ibn Katheer, jilbab membezakan di antara wanita hamba dengan wanita yang merdeka di mana orang yang merdeka wajib bertudung. Manakala dalam tafsiran yang lain, dinyatakan bahawa pemakaian tudung dan penutupan aurat melambangkan dia adalah wanita yang bertamadun kerana tahu menjaga kehormatannya.

4. Jilbab (menutup aurat) mampu menghalang pelbagai penyakit kulit. Menurut kajian saintifik terkini membuktikan bahawa kulit wanita adalah lebih sensitif berbanding kulit lelaki. Maka oleh kerana itulah, kulit wanita memerlukan sistem penjagaan yang lebih rapi dan baik berbanding kulit lelaki. Dengan keadaan zaman sekarang ini yang mana, persekitaran kita begitu berbahaya dengan pelbagai jenis pencemaran yang melanda.

Saya ambil beberapa contoh pencemaran yang boleh memberi kesan berbahaya kepada kulit. Pencemaran udara, yang mana udara kita dipenuhi dengan pelbagai jenis asap dan debu (dangerous particles). Pencemaran cahaya dan radioaktif. Pencemaran cahaya adalah berpunca daripada penipisan lapisan ozon (light filteration) yang semakin ketara, yang mana pelbagai sinar matahari yang berbahaya dengan mudah terlepas ke permukaan bumi akibat gagal ditapis oleh ozon. Maka, apa alternatifnya yang terbaik untuk mengawal semua jenis pencemaran ini? Tentu sekali pakaian yang baik yang mana mampu menutupi semua bahagian badan kita yang sensitif.

Maka dengan itu, sekaligus menunjukkan hikmah wanita diwajibkan memakai jilbab (menutup aurat). Ianya sungguh relevan sekali dengan suasana masa kini yang begitu berbahaya kepada organ kulit kita, terutamanya wanita yang jauh sangat sensitif terhadap kesan pencemaran tersebut. Tanpa perlu berbelanja mahal untuk bahan-bahan kimia penjagaan kulit yang belum tentu terjamin kebaikannya dan mungkin ada kesan jangka panjangnya yang jauh lebih berbahaya, maka pakailah pakaian yang menutup aurat. Ianya lebih selamat dan dijamin oleh ALLAH sejak lama dahulu lagi. Dan ianya terbukti tiada kesan sampingan.

Renungan:
Ingatlah rakan-rakan wanita ku. Jika anda menganggap pakaian “haram” yang anda peragakan itu lebih cantik daripada pakaian yang disarankan oleh ALLAH, maka sebenarnya anda telah cuba menyatakan bahawa pakaian yang disarankan oleh ALLAH itu adalah tidak cantik. Maka, di masa anda menyatakan demikian (ditambah anda mempraktikkannya) , maka anda di saat itu sedang melakukan suatu kesyirikan yang tidak kurang besarnya, dan menunjukkan anda sungguh berani kerana perbuatan anda itu sebenarnya menunjukkan anda sedang melawan (memprotes) ALLAH. Na’uzubillah.
WALLAHU‘ALAM

Rujukan: http://puteraislam08.blogspot.com

Wednesday, November 18, 2009

10 KESALAHAN TERBESAR YANG BOLEH MEROSAKKAN OTAK

1.Mengabaikan pengambilan sarapan pagi
Individu yang sering mengabaikan pengambilan sarapan pagi berisiko besar untuk mengalami kekurangan gula dalam darah. Ia akan menyebabkan bekalan nutrien tidak cukup untuk dihantar ke otak lalu menyebabkan bahagian tersebut mengalami kemerosotan.


2.Terlalu banyak makan
Ia akan menyebabkan berlakunya pengerasan di bahagia arteri otak dan sekali gus memperlahankan kuasa mental.


3.Merokok
Ia menyumbang kepada pengecutan otak dan boleh menyebabkan panyakit Alzheimer


4.Pengambilan gula yang tinggi
Terlalu banyak gula boleh mengganggu penyerapan protien dan nutrien disebabkan kekurangan zat makanan dan mendatangkan kesan terhadap perkembangan otak.


5.Pencemaran udara
Otak merupakan penerima oksigen yang terbesar dalam sistem badan manusia. Apabila sering terdedah pada pencemaran udara, ia akan mengurangkan penghantaran sumber oksigen bersih ke otak dan secara langsung mengurangkan kecekapan fungsi otak.


6.Kurang tidur
Tidur memberi peluang otak berehat. Apabila seseorang mengabaikan kualiti tidur yang sempurna perlahan-lahan boleh menjejaskan sel otak sekali gus mendatangkan risiko yang tinggi untuk berlakunya kegagalan fungsi otak.


7.Menutup kepala ketika sedang tidur
Tidur dengan menutup kepala akan mempertingkatkan karbon dioksida dan mengurangkan oksigen untuk sistem badan yang boleh menyebabkan kerosakan pada bahagian otak


8.Memaksa otak bekerja ketika badan tidak sihat
Ketika badan tidak sihat, secara tidak langsung juga akan memberikan efek kepada otak. Lantas memaksa diri ketika keadaan badan tidak mengizinkan mampu menyumbang kerosakan pada saraf otak pada amnya.


9.Berfikiran sempit
Berfikir merupakan latihan terbaik untuk merangsang otak. Namun, jika seseorang itu sering berfikiran sempit maka ia boleh menyebabkan berlakunya pengecutan di bahagian otak.


10.Jarang berkomunikasi
Komunikasi intelektual mampu merangsang perkembangan otak. Jika seseorang itu jarang berkomunikasi, lama-kelamaan fungsi otak mampu mengalami kemunduran.

Tuesday, November 17, 2009

Si Janda yang kuat Tawakalnya

Di sebuah ladang, seorang peladang yang kaya sedang kebingungan. Setiap tahun pada kebiasaannya hasil ladangnya akan dibahagi tiga. Sepertiga untuk keperluan keluarga sendiri, sepertiga untuk sedekah sementara sepertiga lagi untuk benih tanaman musim berikutnya.


Di sebabkan kemarau, hasil ladangnya terjejas teruk. Sukatan yang biasa di gunakan mengalami masaalah untuk mencukupkan pembahagian . Jika diagihkan sepertiga untuk sedekah dan sepertiga untuk keperluan keluarga, yang selebihnya tidak mencukupi untuk sukatan benih tanaman berikutnya. Jika dikurangkan simpanan untuk makanan sepanjang tahun , dikhuatiri keluarganya menghadapi kekurangan makanan. Jika di ambil sedikit bahagian untuk fakir miskin, bererti dia mencuri sedekah yang sudah di janjikan. Masaalah ini sangat memeningkan kepala. Tuan ladang lantas pergi meminta nasihat dari ulama’ sufi.


Ulama’ sufi itu mencadangkan kepada tuan ladang : “Di hujung kampung ada seorang janda dengan tujuh orang anak yang masih kecil. Pergilah ke rumah mereka dan berikanlah sedekah makanan kepada mereka.”


Tuan ladang mengikut sahaja cadangan ulama’ sufi tersebut. Dia segera menuju ke rumah janda miskin yang di maksudkan dengan membawa sedikit gandum untuk disedekahkan.


Janda : “Ada apa urusan tuan datang ke pondok saya malam begini?”
Tuan ladang : “Saya datang membawa gandum untuk keperluan makan anak-anakmu.”
Janda : “Anak-anak saya semua sudah tidur.”
Tuan ladang : “Kamu ambil dan simpan sahaja untuk keperluan hari esok.”
Janda :” Apakah tuan dapat menjamin anak-anak saya masih hidup lagi esok.?”
Tuan ladang : “Insya Allah, mudah-mudahan masih hidup lagi esok.”
Janda : “Jika demikian, hanya Allah sahaja yang dapat menentukan bagaimana keadaan hari esok. Tuhan Yang Maha Pemurah yang menentukan hidup anak-anak saya. Maka Dia jugalah yang akan memberikan rezeki untuk mereka, bukannya tuan. Dalam keadaan kemarau dan semua orang menghadapi kesulitan mendapat bekalan makanan saya tidak dapat menerima pemberian ini. Masih ada orang miskin lain yang lebih memerlukannya untuk makan malam ini. Sudah tentunya tidak patut saya menghalang keutamaan orang lain.


Setiap patah kata-kata janda beranak tujuh itu memberi kesan mendalam kepada tuan ladang. Spontan jelas dalam jiwa dan fikirannya, janda tersebut berkeyakinan penuh kepada ketentuan rezeki dari Allah. Tidak sedikit pun merasa khuatir walau dalam keadaan genting. Malahan masih mampu mengutamakan keperluan orang lain. Tuan ladang merasa tidak patut sama sekali bagi dirinya yang jauh lebih berkemampuan dari janda miskin itu di kalahkan oleh keyakinan yang lemah. Sepatutnya dengan limpahan rezeki yang Allah kurniakan, dia tunduk dan patuh sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.


Pertemuan dengan janda tersebut mendorong tuan ladang bersegera membahagikan sepertiga bahagian hasil tuaian tanamannya kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, seperti selalunya. Juga sepertiga untuk benih tanaman berikutnya. Manakala sepertiga untuk keperluan makanan keluarganya, memadai dengan jumlah yang selebihnya. Kini dia telah benar-benar meyakini agihan rezeki yang adil dari Yang Maha Pemurah.Tiada lagi kekhuatiran di hatinya setelah dia meletakkan kedudukan dirinya sebagai hamba kepada Yang Maha Pemurah.


Tawakal sangat besar faedah dan rahsianya - carilah dan renung-renunglah, semoga Allah menganugerahkan kepada anda dapat sampai kepada darjat tawakal orang-orang yang abrar dan muqarrabin. Beruntung dan sangat-sangat beruntunglah ibu bapa yang mendapat anak-anak yang sedemikian. Tidak akan mendapat darjat tersebut melainkan orang telah mencapai darjat mengenal diri dan mengenal Allah yang sempurna. Permulaan agama adalah marifat kepada Allah.



Abrar = Orang yang banyak berbuat ibadat dan taat kepada Allah
Muqarrabin = Orang yang dekat dengan Allah s.w.t

Monday, November 16, 2009

Tanda-tanda Hati yang Hidup

Hidupkanlah hati ini dengan sentiasa mengingati Allah swt, bersihkan hati dengan zikirullah, muraqabah setiap saat dan ketika dan ketika di malam yang gelap gelita munajatlah kepada yang maha Esa, mohonlah keampunan di atas dosa-dosa yang di lakukan,insya Allah hati akan menjadi lembut dan terbina kekuatan yang luar biasa,iaitu kekuatan perhubungan dengan Allah swt.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Di dalam jasad itu ada seketul darah (mudghah),bila rosak, maka rosaklah badan seluruhnya dan bila sihat maka sihatlah badan seluruhnya, seketul darah itu adalah hati."

Hati perlu di bentuk supaya sihat dan mulia dengan Islam.Hati yang Rabbani adalah hati yang setiap ketika dan saatnya berhubung dengan Allah swt dan mematuhi titah perintahNya.

Di antara tanda-tanda hati yang hidup :
1.Sentiasa mengingati dan berzikir kepada Allah swt.
2.Kuat berpegang pada ajaran Islam
3.Menjauhi larangan Allah swt dan meninggalkan perkara yang sia-sia.
4.Bersih dari hasad dengki, cepat marah dan menipu.
5.Redha dengan sistem hidup Islam


Fauzan bin 'Ayat(ahli sufi) pernah berkata "Apabila iblis berjaya mencapai salah satu dari 3 perkara berikut dari anak Adam maka iblis tidak akan tuntut lain-lain perkara dari anak Adam :
1.Terpedaya dengan diri sendiri.
2.Merasai amalan-amalannya melebihi kerja-kerja orang lain
3.Terlupa dengan dosa-dosa sendiri"

Al- Sauri pernah menasihati anak muridnya "Sekiranya kamu tidak mahu sifat 'ujub berada pada dirimu maka janganlah kamu suka pada pujian orang. Jika kamu mahu pada pujian-pujian mereka dan ingin orang memandang kerja-kerjamu dengan martabat yang tinggi, maka itu adalah 'ujub'

Al-Fadhil bin Iyadz ra. berkata "Meninggalkan sesuatu amalan kerana manusia, 'riak' namanya. Dan membuat sesuatu amalan kerana manusia, syirik hukumnya. Dan dinamakan ikhlas itu ialah Allah s.w.t menyelamatkan engkau dari kedua-duanya."

Nabi Isa a.s pernah berkata maksudnya " Berapa banyak api lampu-lampu yang dipadamkan oleh angin ribut, tetapi berapa banyak lagi ibadat yang telah dipadamkan oleh angin 'ujub. Segala amalan soleh mendapat cahaya nur dari Allah s.w.t tetapi ia akan menjadi gelap sekiranya ribut 'ujub melanda api itu, walaupun dengan satu tiupan"

Memohon keteguhan iman adalah antara doa yang paling banyak di panjatkan Nabi s.a.w dalam munajat-munajat baginda. Iman kita ada kalanya naik dan ada kalanya turun. Adalah amat malang jika permulaan hidup berada dalam takwa, tetapi di akhirnya mati dalam 'su al-khatimah', maka nerakalah tempat kembalinya.

Maksud hadis sahih riwayat al-Bukhari, Nabi bersabda maksudnya "Sesungguhnya amalan kamu di nilai pada bahagian akhirnya" mafhum dari hadis ini bermaksud jika diakhirnya baik, maka syurgalah tempatnya, demikian sebaliknya jika buruk, nerakalah tempatnya.

Oleh itu Nabi s.a.w mengajar kita sentiasa berdoa :

"Ya Allah,sesungguhnya aku memohon kepada Mu iman yang tidak akan lepas (murtad), nikmat yang tak akan habis dan menyertai Nabi Muhammad s.a.w di syurga yang paling tinggi selama-lamanya"

(riwayat Ibn Hibban)

Artikel asal dari Tanda-tanda Hati Yang Hidup

Sunday, November 15, 2009

Sebakul Air




Seorang lelaki tua tinggal di sebuah ladang bersama cucu lelakinya. Setiap pagi si Datuk akan bangun awal dan duduk di anjung rumah sambil membaca al Quran.


Si Cucu pula sangat mengkagumi datuknya. Dia ingin menjadi seperti datuknya lantas mengikut dan meniru apa saja yang dilakukan oleh lelaki tua itu.


"Tok, saya cuba membaca Quran seperti yang Tok lakukan setiap pagi tetapi saya tidak faham. Saya akan lupa apa yang saya baca sebaik saja saya menutupnya. Apakah kebaikannya membaca Quran padahal saya tidak memahaminya?" kata si Cucu pada suatu pagi.


"Ambil bakul ini dan bawa ia ke sungai. Cedok air sungai dan bawakan air itu kepada datuk" pinta si Datuk.


Si Cucu melakukan apa yang disuruh oleh datuknya tanpa banyak soal. Namun setiap kali dia mencedok air menggunakan bakul itu, air tersebut akan kering sebelum dia sempat sampai di rumah.


"Cucu mesti berlari dengan lebih cepat supaya air yang di dalam bakul itu tidak sempat kering" kata si Datuk sambil tersenyum.


Si Cucu pun berlari sambil membawa sebakul air dengan harapan ia akan sempat sampai di rumah sebelum air yang di dalam bakul itu kering. Malangnya, selaju mana pun dia berlari, air di dalam bakul itu akan kering sebelum dia sempat tiba di rumah. Si Cucu kepenatan lalu menemui si Datuk untuk memberitahu bahawa betapa mustahilnya untuk membawa pulang air di dalam bakul.


"Kenapa kita tidak gunakan saja timba untuk mengangkut air?" tanya si Cucu kepada datuknya.


"Yang datuk inginkan ialah sebakul air bukan setimba air. Kamu tidak mencubanya dengan bersungguh-sungguh" kata si Datuk.


"Saya akan tunjukkan kepada Tok bahawa sia-sia saja mengangkut air menggunakan bakul" kata si Cucu lagi.


Sekali lagi, si Cucu mencedok air dengan menggunakan bakul dan berlari sekuat hatinya menuju ke rumah namun air yang di dalam bakul itu akan kering sebelum dia sempat tiba di sana. Perbuatan ini diperhatikan oleh si Datuk.


"Tok dah lihat sekarang kan? Mustahil untuk mengangkut air menggunakan bakul. Ia adalah perbuatan yang sia-sia" kata si Cucu.


"Jadi cucu ingat ia adalah satu perbuatan yang sia-sia? Cuba cucu lihat keadaan bakul itu" kata si Datuk.


Si Cucu melihat dan membelek bakul tersebut. Pertama kali dia perasan yang keadaan bakul itu berbeza sekarang. Bakul itu kelihatan lebih bersih daripada sebelumnya, luar dan dalam.


"Cu, begitu juga yang terjadi apabila kita membaca Quran. Mungkin cucu tidak memahami dan tidak mengingati semua isi kandungan Quran tersebut tetapi cucu akan berubah menjadi bersih, luar dan dalam. Begitulah caranya Allah memelihara kita di dunia ini" kata si Datuk.

Saturday, November 14, 2009

Hikmah Di Sebalik Musibah ...



Musibah adalah salah satu dari bentuk kasih sayang Allah swt kepada hambaNya yang masih mempunyai harapan untuk berubah ke arah kebaikan dan berkesempatan masuk syurga. Dan setiap musibah yang datang seharusnya disyukuri, kerana ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya.

Allah swt akan memberi imbalan di akhirat nanti atas apa sahaja yang menimpa hambaNya di dunia, sekalipun hanya tertusuk duri. Mungkin musibah yang menimpa adalah merupakan kepada balasan atau kifarah ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan.

Oleh itu, kita harus bersyukur kerana Allah swt tidak menunda pembalasan dosa-dosa kita di akhirat kelak.
Ada kurnia dari Allah swt yang tidak dapat didapati dengan ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya tetapi hanya didapati dengan musibah. Orang-orang yang dicintai oleh Allah swt akan diberi musibah agar hatinya hancur, sehingga hidayah mudah meresap ke dalam hatinya.

Hati yang keras ibarat batu tidak dapat ditembus oleh air, tetapi tanah yang lembut mudah menyerap air. Maka hati orang yang beriman akan lembut dengan musibah.
Sabda Rasulullah saw, "Apabila engkau melihat seseorang yang memperoleh kenikmatan dunia padahal dia sering melakukan kemaksiatan, maka ketahuilah bahawa itu adalah istidraj (Penundaan azab dari Allah swt), seperti seseorang yang diberi seutas tali yang dengan tali itu dia dibiarkan menggantung dirinya sendiri".

Friday, November 13, 2009

Kewajipan & Tanggungjawab Suami Isteri

Seseorang yang hendak mendirikan rumahtangga hendaklah menginsafi bahawa kewajipan dan tanggung-jawab sedang menantinya. Membina keluarga bermakna bertambahnya tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Di sini digariskan beberapa tanggungjawab penting suami dan isteri di dalam rumahtangga.

Kewajipan Suami

1. Suami adalah ketua keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan ketua unit masyarakat yang kecil ini, suami berkewajipan mangawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan kerja, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

2. Dia wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Kalau tidak mampu mengajar sendiri dia wajib menanggung biayanya.
Dalam hal ini suami yang bijak awal-awal lagi akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajipannya mengajar agama kepada isterinya. Isteri yang beragama itu, pasti dapat berkerjasama mendidik anak-anak dalam kehidupan beragama.

3. Pentadbiran suami di dalam rumahtangga hendaklah berdasarkan rahmah (berkasihSayang ) berakhlak dan contoh yang baik.
la bertanggungjawab di hadapan Allah S.WT. terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumahtangga adalah penting. Rasulullah s.a.W mensifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada ahli rumahnya.

4. Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik. Rasulullah s.a.w. menyifatkan kaum wanita sebagai amanah Allah S.W.T. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Misalnya jika kita diamanahkan sesuatu barang dan barang itu rosak di tangan kita, tentulah ia akan melibatkan nama baik kita. Sebab itu Rasulullah s.a.w. berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa memesan mereka supaya berkelakuan baik.

5. Tanggungjawab suami adalah penting di dalam membina keluarga. Tidak sah pernikahan orang yang tidak boleh mengendalikan urusan rumahtangga seperti pernikahan kanak-kanak dan orang gila. Adapun orang yang bodoh (safah) yang ditahan dari mengurus harta benda dan dirinya, tidak sah berkahwin melainkan dengan izin walinya.

Orang yang mempunyai keinginan berkahwin tetapi tidak sanggup menyediakan mahar dan nafkah tidak digalakkan berkahwin, kata AI-Syafiyyah, sunat tidak berkahwin bahkan hendaklah berpuasa kerana puasa itu penahan keinginan.

Demikian juga orang yang tidak mempunyai keinginan dan hendak menumpukan perhatian kepada pekerjaan tidak digalakkan berkahwin. Ulama berselisih pendapat mengenai orang yang tidak mempunyai keinginan yang mampu menyediakan makan dan nafkah dan tidak pula hendak menumpukan seluruh hidupn-y-a- kepada perkerjaan sahaja. Menurut satu pendapat, tidak disunatkan. Menurut pandapat lain sunat ia berkahwin.

Kita dapat melihat dengan jelas bahawa perkahwinan itu hanya digalakkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab. Apabila berkahwin, menunaikan tanggungjawab kepada keluarga adalah wajib.


Kewajipan Isteri

Apabila suami sebagai ketua di dalam rumahtangga, maka isteri itu timbalannya yang mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Di antara tanggungjawab isteri ialah:

1. Bergaul dengan suami secara baik. Menurut ulama Mazhab As-Shafie, wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik.

2. Mengendalikan kerja-kerja rumah. Menurut riwayat Janzani, Rasulullah s.a.w menentukan kewajipan anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah.
(AI Mar'ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta'al AI Jibry).

3. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik dan kemas. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di sampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham dan benar-benar perihatin.

4. Pujuk memujuk adalah penting dalam kehidupan rumahtangga.
Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:
"Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. "

5. Isteri hendaklah taat kepada suami. Di dalam sesuatu tindakan, jangan sekali-kali membelakangkan suami, kerana dia ketua rumah-tangga. Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu. Isteri pula hendaklah memahami tugas dan kewajipan suami di luar.
Sekiranya kerja itu untuk Allah S.W.T. dan RasuINya, ia mestilah menyokongnya, memberi galakan dan semangat dan menasihatinya supaya tidak berputus asa.

6. Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatannya dianggap oleh Rasulullah S.A.W. sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.

Inilah di antara kewajipan isteri terhadap suami. Apabila setiap pihak menunaikan tanggungjawab, akan berkembanglah mawaddah atau kasih sayang. Batas-batas dan tanggungjawab suami isteri ini ditetapkan oleh Islam sebagai peraturan yang bertujuan mengukuhkan kehidupan dan hidup di dalam suasana ibadah kepada Allah S.WT.

Rumahtangga akan hancur jika sekiranya setiap pihak mengabaikan tanggung-jawabnya. Dengan mengamalkan prinsip agama dengan betul, akan wujudlah keluarga bahagia yang merupakan tahap pertama pembentukan masyarakat Islam.

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran