Carian Artikel di sini
Wednesday, June 10, 2009
Kisah sebiji teko...
Ada sepasang suami isteri yang sangat meminati barang-barang antik dan tembikar. Ketika mereka berjalan-jalan di sepanjang kedai pada suatu hari, mereka terpandang sebiji teko yang diperbuat daripada tanah liat.
"Cantiknya teko itu. Boleh kami pegang dan lihat? Kami tidak pernah jumpa teko secantik ini." kata si isteri kepada penjual teko tersebut.
"Tentu boleh." kata penjual sambil menghulurkan teko itu kepada pasangan tersebut.
Tiba-tiba pasangan suami isteri itu seakan-akan terdengar satu suara daripada teko tersebut.
"Dulu bukan secantik ini rupa saya. Asalnya saya daripada tanah liat yang berwarna merah dan sangat hodoh rupa saya. Kemudian tuan saya menguli dan mengadun saya. Saya menjerit kesakitan sambil menyuruh tuan saya berhenti melakukan begitu pada saya tetapi dia hanya tersenyum sambil berkata, 'belum lagi.'"
"Kemudian dia meletakkan saya di atas satu roda berpusing dan saya berpusing bersama-sama roda tersebut sehingga merasa pening dan meloya. Saya menjerit lagi sambil menyuruh tuan saya menghentikan pusingan roda tersebut tetapi dia hanya menggeleng sambil berkata, 'belum lagi.'"
"Kemudian dia meletakkan saya di dalam oven. Tidak pernah saya merasa kepanasan sedemikian rupa. Saya tidak faham kenapa tuan saya sanggup membakar saya. Saya menjerit kepanasan sambil meminta tuan saya membukakan pintu oven itu. Saya tidak tahan berada dalam kepanasan begitu tetapi dia hanya berkata, 'belum lagi.'"
"Selepas beberapa jam berada di dalam oven tersebut, akhirnya saya dikeluar dan diletakkan di atas sebuah para. Suhu badan saya menjadi normal semula dan saya berasa lega. Kemudian tuan saya mengecat seluruh badan saya. Bau cat itu sungguh memualkan saya dan saya hampir termuntah. Saya merayu kepada tuan saya agar dia berhenti mengecat saya tetapi dia hanya berkata, 'belum lagi.'"
"Tiba-tiba dia membuka pintu oven dan saya dimasukkan semula ke dalamnya. Kali ini kepanasan oven tersebut dua kali ganda dari kepanasan kali pertama dahulu. Saya sedar saya tidak akan dapat bertahan lama. Saya menjerit, menangis dan merayu kepada tuan saya agar dia tidak menyiksa saya begitu, tetapi dia tidak memperdulikan jeritan dan tangisan saya. Dia cuma berkata, 'belum lagi.'"
"Saya merasakan hayat saya hampir tamat di situ. Saya hampir berputus asa apabila tuan saya membuka pintu oven tersebut. Saya tidak dapat berkata-kata lagi. Dia mengeluarkan saya dari oven itu dan meletakkan saya di atas para. Saya ditinggalkan di situ selama beberapa jam. Suhu badan saya berbalik kepada normal. Dalam hati saya tertanya..apalagi bentuk penyiksaan yang bakal saya terima selepas ini."
"Dari jauh saya ternampak tuan saya datang bersama sebuah cermin di tangannya. Dia menyuruh saya melihat diri saya melalui cermin tersebut. Saya hampir tidak percaya melihatnya. Adakah saya secantik ini? Tidak mungkin!"
"Kemudian tuan saya memberitahu, dia amat memahami akan kesakitan yang saya alami ketika saya diuli dan diadun tapi sekiranya dia tidak buat begitu, saya akan menjadi kering kontang. Tuan saya juga mengerti akan kepeningan saya berada di atas roda berpusing itu tapi jika dia tidak buat begitu, saya tidak mempunyai bentuk. Dia juga memahami akan keperitan berada di dalam kepanasan oven tetapi jika dia tidak buat begitu, saya mungkin akan retak. Dia juga tahu bahawa bau cat itu amat meloyakan tapi jika dia tidak buat begitu, tentu tidak ada warna warni dalam kehidupan saya. Dan dia lebih daripada mengerti akan keperitan dan kepanasan berada di dalam oven buat kali kedua dengan suhu yang lebih panas lagi tapi jika dia tidak buat begitu, mungkin hayat saya tidak panjang. Saya akan mudah retak dan pecah."
"Dan inilah rupa saya sekarang selepas menjalani proses demi proses yang menyakitkan. Saya terhasil sepertimana yang tuan saya idamkan sejak mula dia menyentuh saya."
Allah lebih mengetahui apa yang DIA lakukan ke atas kita. DIA pencipta dan kita ibarat tanah liat. Kita diuli, diadun, dipusing, dipanaskan, diwarnai dan pelbagai lagi ujian yang kadang-kala amat menyakitkan. Semua itu adalah untuk kebaikan kita dan ada hikmahnya di sebalik keperitan tersebut. Allah akan menguji kita dengan sesuatu yang mampu kita hadapi dan tanggung. DIA tidak akan berlaku kejam terhadap hamba-hambanya kerana ALLAH maha pengasih dan maha penyayang. Ketika ditimpa pelbagai dugaan dan ujian yang menyakitkan, hendaklah kita selalu ingat bahawa ALLAH buat begitu untuk kebaikan kita, bukan untuk menyiksa kita. Justeru, jangan terlalu cepat berputus asa dari rahmat TUHAN.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment