Carian Artikel di sini

Friday, April 3, 2009

Perjalanan Takdir yang Menakjubkan

Pada suatu hari sepasang suami isteri sedang makan bersama di rumah mereka. Sedang mereka makan, kedengaran pintu rumah mereka diketuk oleh seseorang. Si isteri telah membuka pintu dan dilihatnya seorang lelaki meminta sedekah. Si isteri merasa terharu dan dia bermaksud hendak memberikan sesuatu. Tetapi sebelumnya dia bertanya dahulu kepada suaminya, "Wahai suamiku, bolehkah saya memberikan makanan kepada pengemis ini?"


Alangkah sedihnya hati si isteri apabila mendengar jawapan daripada suami yang dicintai yang telah menjawab, "Tidak usah! Usir saja dia, dan tutup kembali pintu!" Dengan kuasa Allah, pada suatu ketika si suami yang menjalankan perniagaan telah mengalami kerugian yang teruk dan menderita kerana banyak hutang, sehingga rumahtangga mereka porak peranda.


Akhirnya rumahtangga mereka musnah akibat berlaku perceraian. Tidak lama setelah itu bekas isterinya berkahwin lagi dengan seorang pedagang di kota. Dikisahkan, pada suatu hari ketika ia sedang makan bersama suaminya (yang baru), tiba-tiba ia mendengar pintu rumahnya diketuk orang. Setelah dibuka pintu ternyata tamu tak diundang itu adalah seorang pengemis yang sangat mengharukan hati wanita itu.


Maka wanita itu berkata kepada suaminya. "Wahai suamiku bolehkah saya memberikan sesuatu kepada pengemis ini?" Suaminya menjawab, "Berilah makan kepada pengemis itu." Setelah memberi makanan kepada pengemis itu isterinya masuk ke dalam rumah sambil menangis. Suaminya dengan perasaan hairan bertanya kepadanya, "Mengapa engkau menangis? Apakah engkau menangis kerana saya menyuruhmu memberikan daging ayam kepada pengemis itu?"


Wanita itu menggelengkan kepalanya, lalu berkata dengan nada yang sedih dan sambil terisak-isak menahan tangis, "Wahai suamiku. saya sedih dengan perjalan takdir yang sungguh menakjubkan hatiku. Tahukah engkau siapa pengemis yang ada di luar itu? Dia adalah suamiku yang pertama dahulu." Mendengar keterangan isterinya sedemikian, sang suami sedikit terkejut, tetapi segera ia pula bertanya "Dan tahukah engkau siapa saya yang kini menjadi suamimu ini. saya adalah pengemis yang dulu diusirnya...!"


Begitulah kisahnya, saudara-saudaraku, maka berikan sesuatu itu kepada yang haqnya. Usahlah suka menghina dan mencaci sesama kita, terutama yang kurang bernasib baik. Allah itu MAHA KUASA.

Thursday, March 5, 2009

7 Perkara Ganjil

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut.

Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.

"Yang pertama aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

"Sambung pemuda itu lagi, "Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"

Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."

" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.

" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.

" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran