Carian Artikel di sini

Monday, February 2, 2009

HOROSKOP....percaya atau tidak?

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad. Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

"Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam," katanya. Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari."

Perbahasan mengenai minat masyarakat hari ini terhadap ilmu ramalan termasuk membaca horoskop dibincangkan Nik Salida bersama Al-Fadhil Kadi Daerah Temerloh, Badli Shah Alauddin, dalam program Halaqah terbitan TV9 yang disiarkan malam Ahad lalu dengan tajuk Bintang 12. Program yang mengulas mengenai ayat 105, surah an-Nahl, mengajak penonton menghindari perbuatan berjumpa atau mempercayai tulang tilik dan tukang ramal kerana Allah memberi amaran mengenai golongan pembohong itu.

Nik Salida berkata, tidak dinafikan ramai yang mengatakan tujuan mereka membaca ramalan bintang adalah suka-suka tetapi amalan bermula daripada suka-suka itu akhirnya menyebabkan mereka menjadi obses seterusnya terpengaruh dengan apa yang dibaca.

Katanya, ada kalangan masyarakat hari ini yang melanggan ramalan bintang melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengetahui apa yang diperkatakan mengenai nasib mereka atau perkara bakal dilalui mereka setiap hari, minggu atau bulan.

Sedangkan, perbuatan itu bukan saja merosakkan akidah malah menyebabkan hidup mereka tidak keruan kerana pengaruh ramalan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada aktiviti atau perancangan mereka pada hari itu.

"Jika tidak percaya atau untuk suka-suka kenapa hingga melanggan SMS horoskop. Maknanya bangun pagi kita mahu tengok apa yang diramalkan untuk kita hari itu. Begitu juga dengan membaca di akhbar dan majalah, kenapa kita hendak tahu ramalan.

"Jika katanya dalam bab rezeki apa yang diperoleh tidak setanding kerja dilakukan, maka akan timbul perasaan malas buat kerja sebab rezeki yang dapat sikit saja. Kesan ramalan ini bukan saja pada akidah, juga aspek psikologi.

"Daripada suka-suka itu juga apabila kebetulan perkara diramalkan itu benar berlaku ia mula menerbitkan kepercayaan yang akhirnya menyebabkan mereka jatuh ke lembah kepercayaan perkara karut-marut ini," katanya.

Badli Shah berkata, golongan yang percaya kepada Bintang 12 atau ramalan tukang tilik mengenai untung nasib atau hari baik dan tidak adalah mereka yang tidak percaya ketentuan Allah serta ciptaannya. Beliau berkata, Allah sudah memberi amaran mengenai golongan itu di dalam al-Quran di mana Allah murka dan mengatakan mereka sebagai golongan pembohongan serta penipu kerana mendahului takdir Allah. Katanya, apa yang dikhuatiri ialah disebabkan ramalan itu umat Islam lupa bahawa setiap sesuatu yang terjadi itu adalah dengan izin Allah dan ini memberi kesan daripada sudut akidah mereka.

"Jika Allah tidak izinkan perkara itu berlaku, ia tidak akan jadi. Tukang ramal pusinglah daun terup atau biarlah burung dia bercakap tetapi tanpa izin Allah tidak akan berlaku. Malangnya kita tengok, zaman moden ramai yang kembali percaya dan mencari petunjuk daripada zodiak," katanya.

Katanya, kepercayaan kepada ramalan terutama tukang tilik dan ahli nujum boleh mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan pergaduhan antara suami isteri, permusuhan sesama jiran atau sahabat karib. Contohnya, isteri yang diberitahu mengenai sikap suami atau ramalan bahawa suami akan berkahwin lagi pastinya menyebabkan berlaku perbalahan dan paling malang lagi jika perkara itu tidak benar sama sekali.

Rasulullah SAW turut berdepan dengan kelompok masyarakat Arab yang taksub dengan ramalan dan kiraan bintang hingga Baginda menyebut akan tiga golongan itu terdiri daripada mereka yang mampu meramal bintang, meramal barang hilang dan melakukan ramalan berdasarkan pergerakan bintang di langit. Malah, Baginda SAW pernah didatangi beberapa orang yang meminta Baginda meramal masa depan orang Arab tetapi Baginda memberitahu, jika diketahui perkara ghaib nescaya dirinya sudah mendapat kemewahan serta terlepas dari musibah.

Mengulas mengenai sejarah Bintang 12, Badli Shah berkata, kepercayaan itu berasal dari Mesopotania, daerah asal orang Babylon terletak antara sungai Tigris dan Euphrates dan kini terletak di tenggara Iraq. Ilmu itu berkembang sejak Babylon kuno 200 tahun sebelum masihi dan secara bertahap. Amalan dan kepercayaan itu semakin berkembang hingga tahap yang dikenali sebagai horoskop atau Bintang 12 yang mengaitkan keperibadian dengan tarikh lahir berpandukan bintang.

"Contohnya bintang Capricorn untuk mereka yang lahir 22 Disember hingga 20 Januari ikut mitos Yunani ialah lambang kambing. Kambing itu bernama Almateus dan pernah beri air pada Dewa Zeus iaitu dewa tertinggi bagi bangsa kuno ketika kecil.

"Oleh itu, bagi mengenang jasa kambing itu ia dijadikan bintang dan bercahaya di langit. Kesimpulannya, Capricorn itu kambing saja. Di sini pun banyak kambing, tidak perlu tengok ke langit. Umat Islam perlu renung sejenak adakah bintang ini sesuai dengan peribadi Muslim.

"Sesuai ke jika umat Islam percaya kepada bintang kambing biri-biri atau lambang orang lelaki gagah tuang air dalam tempayan besar sedangkan banyak perkara lain lebih bermanfaat yang boleh kita fikirkan," katanya.

Justeru, beliau menasihati kepa2da umat Islam supaya menjauhi amalan membaca ramalan bintang atau tulang tilik walaupun untuk suka-suka kerana boleh memberi kesan kepada akidah serta amalan solat yang dilaksanakan. ..

Mohammad's heart flowed with affection and he declared, "This day, there is no REPROOF against you and you are all free."
"This day" he proclaimed, "I trample under my feet all distinctions between man and man, all hatred between man and man."
Receive praise with reticence... .That's humility!
Sabda Rasulullah SAW:- "Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"

Hanya Jauhari Mengenal Manikam

Seorang guru yang sangat dihormati dan terkenal didatangi oleh seorang muridnya pada satu hari di rumahnya. Murid itu kehairanan melihat keadaan rumah gurunya dan cara gurunya berpakaian. Semuanya kelihatan serba sederhana dan tidak menunjukkan ciri-ciri rumah dan cara berpakaian orang yang terkenal.


"Wahai guru, saya tidak faham mengapa seorang guru yang terkenal seperti kamu tinggal dan berpakaian seperti ini. Tidakkah sepatutnya kamu berpakaian dan tinggal di rumah mewah setanding dengan kemasyhuran dan kekayaan yang kamu miliki?"


Guru itu cuma tersenyum sambil melucutkan sebentuk cincin dari jarinya.


"Saya akan menjawab pertanyaan kamu tapi sebelum itu kamu perlu ambil cincin ini dan bawa ke pasar. Cuba kamu jualkan cincin ini dengan harga sekeping wang emas"


Melihat kepada keadaan cincin gurunya yang kusam, murid itu agak ragu-ragu.


"Sekeping wang emas? Saya tidak pasti cincin ini boleh dijual pada harga tersebut" kata murid itu lagi.


"Cubalah dulu. Manalah tahu kamu berjaya menjualnya pada harga tersebut" kata gurunya.


Murid itu lalu membawa cincin itu ke pasar. Dia bertanya kepada penjual kain, penjual sayur, penjual daging, penjual ikan dan lain-lain peniaga tapi tiada siapa yang mahu membeli cincin itu dengan harga sekeping wang emas. Murid itu kembali kepada gurunya dengan perasaan hampa.


"Wahai guruku, tiada siapa yang ingin membeli cincin ini dengan harga sedemikian. Paling mahal yang ditawarkan oleh peniaga-peniaga di pasar itu ialah sekeping wang gangsa"


Guru itu masih lagi tersenyum dan berkata, " Sekarang kamu bawa cincin ini kepada kedai emas di hujung jalan ini. Tunjukkan cincin tersebut kepada tukang emas di situ. Jangan kamu sebutkan harganya sebaliknya tanya tukang emas tersebut, berapa harga yang boleh ditawarkan untuk cincin ini"


Murid itu pun pergi ke kedai emas tersebut dan seketika kemudian pulang dengan muka yang berseri-seri.


"Wahai guruku, tukang emas itu menawarkan seribu keping wang emas untuk cincin ini. Saya bagaikan tidak percaya dengan harga itu"


"Wahai muridku, itulah jawapan kepada soalan kamu tadi. Seseorang itu tidak boleh dinilai dengan keadaan rumah tempat tinggalnya dan cara dia berpakaian. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Permata dan emas dalam diri seseorang hanya boleh dilihat oleh mata hati, bukan mata kasar dan ia perlukan proses yang agak teliti untuk mengenalinya. Kita tidak boleh melihat permata dan emas dalam diri seseorang hanya dengan pandangan pertama (first impression). Seringkali kita tersilap membuat andaian. Sesuatu yang kita nampak luarannya seperti emas rupanya tembaga dan sebaliknya"

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran