Carian Artikel di sini

Sunday, May 6, 2012

Siapa Itu Qarin?



Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.

Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

Firman Allah: “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)

Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)

Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)

Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)

Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

No comments:

Artikel-Artikel Lain

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Terjemahan Bacaan AL-Quran Untuk Dihayati Bersama

Listen to Quran